Peluang masih terbuka untuk tujuh pasukan yang dipotong geran

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/04/peluang-masih-terbuka-untuk-tujuh-pasukan-yang-dipotong-geran">
Twitter
Pinterest

 

Tujuh pasukan yang dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018 bersedia untuk mengemukakan rayuan kepada Malaysian Football League (MFL) dalam tempoh terdekat.

Semalam, MFL mengumumkan pasukan berkenaan iaitu Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier).

Bagaimanapun lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Namun kesemua pasukan yang dikenakan hukuman itu berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, pihaknya akan mengemukakan surat rayuan kepada badan penganjur Liga Malaysia itu dalam tempoh terdekat.

“Kelewatan itu berlaku bukan sebab disengajakan oleh pihak KLFA, ini disebabkan kami mengalami perubahan pucuk kepimpinan. Ada banyak yang berlaku sejak kebelakangan ini tetapi KLFA akan berusaha keras untuk memastikan ia berjalan sebaik mungkin.

“Walaubagaimanapun ia bukan satu alasan di mana KLFA akan mengemukakan surat rayuan kepada MFL dan berharap MFL dapat mempertimbangkan rayuan kami nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah memberitahu pihaknya yang berdepan beberapa masalah domestik, akan menghantar surat rayuan kepada MFL dalam tempoh terdekat.

Jelas Afandi, KAFA yang sebelum ini menyaksikan pemotongan tiga mata di Liga Premier atas arahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan perjalanan mereka di Liga Malaysia berjalan lebih lancar.

“KAFA berdepan beberapa masalah domestik tetapi ia bukan satu alasan buat kami. Tanggungjawab tetap tanggungjawab dan kami sudah pasti akan menyerahkan surat rayuan kepada MFL selain berharap pertimbangan sewajarnya untuk mengurangkan bentuk hukuman tersebut,” ujarnya.

Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak 3 mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Melaka, Farhan Ibrahim @ Alias memberitahu pihaknya sama seperti pasukan-pasukan lain turut bersedia untuk menyerahkan surat rayuan kepada MFL dalam usaha mengurangkan hukuman yang diberikan.

“Kelewatan melengkapkan dokumen pada tarikh akhir disebabkan MFL ketika itu mahukan surat daripada penaja. Disebabkan penaja kami kebanyakan dari GLC (syarikat berkaitan dengan kerajaan), ia ada beberapa siri perbincangan dan pertemuan untuk mendapatkan surat terbabit.

“Itulah sebab mengapa dokumen itu gagal diserahkan pada tarikh akhir dan sudah pasti Melaka akan menghantar surat rayuan kepada MFL di mana berharap pertimbangan sewajarnya daripada pihak mereka mengenai masalah yang dihadapi Melaka secara tidak disengajakan,” katanya.

Sementara itu, Sarawak dan Pulau Pinang turut mengesahkan mereka akan menyerahkan surat rayuan kepada MFL selepas dikenakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada geran tahunan pada musim ini dan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua.

Manakala Felda United mengesahkan akan menghantar surat rayuan berserta dokumen yang diperlukan kepada MFL esok

Please follow and like us:
0