Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais tanpa berselindung mengakui beliau memiliki hasrat untuk menyaksikan lebih ramai anak jati Sarawak membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya.

Ini kerana Posa mendedahkan beliau memiliki keyakinan tinggi terhadap keupayaan serta potensi besar anak-anak muda Sarawak untuk diketengahkan bersama pasukan kebangsaan.

Lebih tepat, Posa mahu melihat lebih ramai pemain-pemain dari pelbagai etnik kaum antaranya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu akan diberikan perhatian lebih di mana beliau percaya Sarawak memiliki kelompok besar bagi pembangunan peringkat akar umbi.

“Sudah pasti impian saya sebagai Presiden FAS adalah mahu melihat lebih ramai orang Sarawak dapat menyarung jersi kebangsaan kerana itulah peringkat tertinggi buat pemain profesional negara.

“Kita memiliki beberapa program jangka pendek dan panjang. Antara salah satu program kami adalah mengumpulkan semua pemain-pemain muda berpotensi daripada seluruh kaum di bumi Sarawak dalam Sekolah Sukan Sarawak.

“Saya melihat anak-anak Sarawak sebenarnya memiliki potensi cukup besar dan berbakat. Jadi, saya percaya impian saya untuk melihat anak dari kaum Iban, Bidayuh atau Orang Ulu dapat bermain bersama skuad Harimau Malaya bukan satu angan-angan sahaja.

“Berbekalkan program pembangunan FAS serta komitmen tinggi pemain-pemain muda Sarawak sendiri, saya mahu mereka mengikuti jejak langkah beberapa bekas pemain antaranya Joseph Kallang Tie yang sebelum ini menyinar bersama kelab dan pasukan kebangsaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Posa mendedahkan FAS sedang berusaha keras untuk memperkasakan lagi program pembangunan akar umbi dalam usaha meluaskan lagi usaha pencarian pemain-pemain muda berpotensi besar.

“Seperti saya katakan tadi, kita sedang berusaha keras untuk mencari pemain-pemain muda berbakat. FAS sedang melaksanakan program itu di mana kami sedang memperluaskan kawasan sehingga ke kampung pendalaman.

“Sarawak adalah satu negeri yang begitu luas dan keluasannya sama seperti Semananjung Malaysia. Jadi, proses itu akan mengambil sedikit masa tetapi ia tidak sesekali membuat FAS patah semangat untuk mengintai lagi pemain-pemain muda tempatan yang berpotensi tinggi,” ujarnya.

Tamat

- Advertisement -