Kejayaan meraih pingat emas Sukan Asia acara sepak takraw membolehkan regu sepak takraw negara dipilih untuk menjadi penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2018.

Mereka akan menerima anugerah berkenaan pada majlis gilang-gemilang yang akan diadakan pada 10 April ini di Hotel Hilton Petaling Jaya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2018 yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-50 itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar untuk berangkat hadir ke majlis itu.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijadualkan turut sama pada majlis berkenaan.

“Sebenarnya pencapaian atlet negara diperingkat tertinggi terlalu banyak tahun lalu dan sukar untuk kita memilih mana yang terbaik.

“Bagaimanapun, semangat juang tinggi dan mengakhiri penantian lama untuk pingat emas sepak takraw di Sukan Asia adalah perkara yang paling mempunyai nilai sentimental tersendiri, apatah lagi ia merupakan sukan warisan kita. Jadi SAM melihat ini merupakan satu sejarah justeru selayaknya regu sepak takraw Malaysia dipilih menerima anugerah khas ini,” kata Setiausaha SAM, Ahmed Faisal Jamal.

Pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, regu lelaki negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Zulkifli Abdul Razak, Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias menyumbang emas selepas menewaskan regu tuan rumah, 2-1.

Kemenangan manis itu diraih penuh dramatik apabila regu negara yang dikendali jurulatih Abdul Talib Ahmad seolah lesu dalam sorakan gempita penyokong lawan apabila tewas 18-21.

Namun pada set berikutnya, mereka bangit bersemangat walaupun pada suatu ketika mereka ketinggalan 11-15 untuk memenanginya dengan 22-20 dan kebangkitan pemain negara itu sekaligus meruntuhkan moral lawan dengan kejayaan menamatkan perlawanan 21-11 pada set penentuan.

Kemenangan itu cukup bermakna untuk skuad negara yang menamatkan kemarau pingat emas selama 24 tahun selepas kali terakhir memenangi acara berkenaan pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

Pada Selain Anugerah Khas, turut disediakan adalah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik, Anugerah Atlet Muda serta Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet dan persatuan sukan, Anugerah SAM-100PLUS 2018 turut memberikan pengiktirafan kepada wakil-wakil media tempatan.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

- Advertisement -