Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kembali ‘bernyawa’

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/04/stadium-sultan-mizan-zainal-abidin-kembali-bernyawa">
Twitter
Pinterest

 

Pembaikan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan lagi bukan sahaja memperlihatkan pasukan Terengganu FC(TFC) bakal beraksi di situ menjelang kempen Piala Malaysia malah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut merancang ‘menghidupkan’ stadium itu di luar waktu perlawanan.

Antara perancangan yang sedang diteliti PBSNT ialah memindahkan ibu pejabat di sana selain membuka galeri mengenai sejarah pasukan TFC dan pembukaan kedai jualan cenderahati skuad Penyu itu.

Menurut Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, beliau akan cuba mendapat kerjasama daripada Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

“Dulu di stadium ini ada kedai jualan cenderahati pada waktu pasukan bermain di sini, namun selepas pasukan berpindah ke stadium lama(Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kedai berkenaan kurang dikunjungi peminat.

“Sebaik stadium di sini siap nanti, kami akan cuba usahakan agar kawasan di sini lebih hidup walaupun tiada perlawanan di sini selain berganding bahu dengan Pengurusan Kompleks Sukan Negeri (Terengganu).

“Kedai cenderahati yang terkini sudah ada satu di bandar tetapi tidak tolak kemungkinan kami akan turut membukanya satu di sini selepas stadium ini boleh digunakan bagi aksi Liga Super.

“Malah, dalam peringkat cadangan ialah pejabat PBSNT akan beroperasi sepenuhnya di sini dan pembukaan galeri mengenai sejarah bola sepak Terengganu, ” katanya.

Pada 8 April lalu, TFC dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) menyerahkan projek penukaran padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kepada RS Greenmaster.

Masalah utama kepada mutu padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas waktu hujan adalah sistem saliran yang kurang berfungsi sehingga menyebabkan air bertakung terlalu lama lantas merosakkan kualiti rumput.

TFC menjadi perintis kepada usaha MFL meningkatkan kualiti padang venue semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia dan pembaikan padang itu dijangka siap sebelum menjelang September 2019 dengan kemungkinan mereka bakal jadikan Stadium Sultan Zainal Abidin sebagai gelanggang rasmi pada kempen Piala Malaysia.

Selain itu, Tengku Farouk memohon kepada MFL untuk memperbaiki keadaan trek di sekeliling padang yang berada di tahap kurang memuaskan dan boleh membahayakan pemain yang sedang beraksi.

“Jika padang ini telah elok tetapi keadaan sekeliling masih seperti ini, memang perlu dilakukan sesuatu dan sebab itu kami baru-baru ini memohon kepada MFL agar perkara ini turut dipertimbangkan.

“Bukan saya minta buat trek baru tetapi sekadar perbaiki permukaan yang rosak dan cantikkan keadaan trek ini agar bersesuaian dengan padang yang baharu nanti.

“Kami memang suka kalau dapat mengikuti model macam stadium di JDT dan ia boleh dijadikan contoh kepada kami dalam meningkatkan kemudahan serta infrastruktur di stadium, ” katanya.

Please follow and like us:
0