Memperkasa taraf pelumba wanita menerusi Le Tour de Femina 2019

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/05/memperkasa-taraf-pelumba-wanita-menerusi-le-tour-de-femina-2019">
Twitter
Pinterest

BUAT julung kali, perlumbaan jelajah berbasikal wanita antarabangsa berstatus UCI 2.1 (Wanita Elit) LE TOUR de FEMINA 2019 akan dianjurkan di Malaysia dan bakal menyaksikan saingan hebat pelumba wanita dan pasukan ternama dunia pada September ini.

Dianjurkan oleh Ciclista Sports Sdn Bhd, perlumbaan jelajah 6 hari itu bakal menyajikan aksi menarik untuk pengikut dan peminat sukan berbasikal di negara ini dengan penyertaan kelab-kelab professional wanita termasuk dari Eropah, Amerika, Oceania dan Asia.

Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini melancarkan Le Tour de Femina 2019 sekaligus menandakan satu lagi peningkatan dan perkembangan positif dalam sukan berbasikal negara.

Le Tour de Femina 2019 yang meliputi jarak keseluruhan 719.9km diperakui badan induk dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebagai perlumbaan enam peringkat bertaraf 2.1 dan dijadualkan dari 7 hingga 12 September ini. Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Bandar Jitra di Kedah diberi penghormatan sebagai venue pertama perlumbaan sebagai hos pemula bagi Peringkat 1 sejauh 116.1km ke Kulim.

Peringkat 2 sejauh 117.1km membawa pelumba menyusuri laluan dari Permatang Pauh di Pulau Pinang ke bandar bersejarah Kuala Kangsar di Perak. Cabaran Peringkat 3 menyajikan saingan paling getir dengan saingan mendaki ke Fraser’s Hill sejauh 124.2km dari Tapah.

Peringkat 4 dari Shah Alam ke Melaka sejauh 132km merupakan cabaran paling jauh manakala Peringkat 5 dari Jasin ke Muar sejauh 112.3km juga bakal menyaksikan aksi perlumbaan yang laju.

Perlumbaan berakhir dengan cabaran Peringkat 6 sejauh 118.2km dari pekan Tampin ke bandar digital, Cyberjaya pada 12 September.                                                                    

YB Syed Saddiq, dalam ucapannya, menyatakan penghargaan kepada Ciclista Sports Sdn Bhd di atas inisiatif menganjurkan perlumbaan sulung itu yang membawa makna besar kepada pencinta sukan berbasikal, peminat dan juga masyarakat umum.

“Ia selari dengan usaha global UCI untuk menggalakkan persamaan dan penyertaan sama rata buat wanita dalam perlumbaan kompetitif dan berstatus elit. Selain itu, usaha ini pasti membuka peluang lebih luas buat pelumba wanita meningkatkan usaha mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi.

Selain menggalakkan penubuhan lebih banyak kelab-kelab berbasikal professional wanita, usaha sebegini juga diharap dapat terus melonjakkan profil Malaysia sebagai hab sukan berbasikal utama di rantau ini,” kata YB Syed Saddiq.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports Sdn Bhd Shahirudeen Seeni pula menekankan komitmen pihaknya untuk menjadikan Le Tour de Femina sebagai antara perlumbaan antarabangsa terulung di dunia pada masa depan.

“Menerusi Le Tour de Femina, kami berharap dapat menyumbang meningkatkan status berbasikal wanita khususnya dalam perlumbaan jelajah wanita di rantau ini. Untuk itu, kami berharap menjadikan acara ini sebahagian dari agenda pelancongan sukan negara selain merancang kerjasama dan pendedahan lebih meluas menerusi media dan usaha penyiaran di televisyen,” kata Shahirudeen.

Pada masa ini, terdapat 23 perlumbaan jelajah elit di bawah kalendar Jelajah Dunia Wanita UCI manakala bagi perlumbaan bertaraf 2.1 ke bawah, terdapat 30 perlumbaan diperakui oleh UCI.

 

JADUAL DAN LALUAN LTdF 2019:

 

Jumaat, 6 Sept: Majlis Pengenalan Pasukan di Jitra, Kedah
 

Sabtu, 7 Sept:

Peringkat 1 – Jitra – Kulim (116.1km)

 

Ahad, 8 Sept:

Peringkat 2 – Permatang Pauh – Kuala Kangsar (117.1km)

 

Isnin, 9 Sept:

Peringkat 3 – Tapah – Fraser’s Hill (124.2km)

 

Selasa, 10 Sept:

Peringkat 4 – Shah Alam – Alor Gajah (132km)

 

Rabu, 11 Sept:

Peringkat 5 – Jasin – Muar ( 112.3km)

 

Khamis, 12 Sept:  

Peringkat 6 – Tampin – Cyberjaya (118.2km)

Please follow and like us:
0