‘Pejuang bolasepak negara’ Sultan Ahmad Shah mangkat

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/05/pejuang-bolasepak-negara-sultan-ahmad-shah-mangkat">
Twitter
Pinterest

 

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi tadi.

Menurut laporan media tempatan, khabar dukacita itu disahkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah’.

 

Turut berdukacita, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan seluruh warga bola sepak tempatan serta antarabangsa susulan pemergian Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang meninggalkan impak cukup besar sepanjang pembabitan Baginda dalam sukan Nombor 1 ini, bermula sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

FAM menerusi kenyataan media, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah adalah Presiden FAM yang paling lama berkhidmat, menggantikan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pada 1984 sehingga memberi laluan kepada anakanda Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, pada 2014.

Di bawah teraju Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, pertandingan bola sepak tempatan melalui satu evolusi pesat, bermula dengan liga semi-pro yang diperkenalkan pada 1989 sebelum menjadi profesional pada 1996 dan ditransformasikan kepada Liga Super pada 2004.

Dalam tempoh tiga dekad itu juga, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menjadi saksi kepada beberapa kejayaan skuad negara, termasuk pingat emas Sukan SEA 1989, Pestabola Merdeka 1993, emas Sukan SEA 2009 dan 2011, serta kemenangan Piala Suzuki AFF pada 2010.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga memastikan Malaysia disegani di mata dunia dengan mendapat penghormatan menjadi tuan rumah Piala Dunia Belia FIFA pada 1997.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menerajui Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 1994 hingga 2002 dan antara tokoh yang menuntut penambahan kuota untuk benua Asia dalam saingan Piala Dunia FIFA pada 2002, susulan krisis pada 1999 apabila delegasi AFC memulau mesyuarat Kongres FIFA di Los Angeles.

Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah juga menjadi Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dari 2011 hingga 2019, dengan kejayaan menjadikan Piala Suzuki AFF sebagai aset terbesar persekutuan itu. Almarhum tidak dicalonkan semula pada Kongres AFF di Siem Reap Mac lalu disebabkan kesihatan Baginda yang tidak mengizinkan.

 

Please follow and like us:
0