Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan nama empat rakan penaja rasmi bagi edisi sulung Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim 2019 yang bakal membuka tirai saingannya pada hujung minggu ini (22 & 23 Jun 2019).

Empat penaja berkenaan terdiri daripada Yoodo, syarikat perkhidmatan telekomunikasi mudah alih digital; Joma, jenama bagi bola rasmi pertandingan; 100PLUS, minuman isotonik pertama di Malaysia dan Astro, penyiar rasmi siaran langsung perlawanan terpilih menerusi platform Astro Go.

Naib Presiden FAM, Datuk Haji Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM cukup berbesar hati dengan kesudian empat syarikat berkenaan untuk tampil sebagai penaja, sekali gus bakal memeriahkan lagi saingan liga futsal profesional yang julung kalinya dianjurkan di negara ini.

“Terima kasih kepada Yoodo, Joma, 100PLUS dan Astro kerana sudi untuk tampil sebagai kelompok penaja sulung bagi MPFL. Apa yang pasti, nama anda semua akan tercatat dalam sejarah futsal negara kerana bersama-sama FAM dalam penganjuran edisi pertama pertandingan futsal kebangsaan secara profesional di Malaysia.

“Sudah tentu saya turut teruja melihat MPFL berjaya mendapat sokongan penajaan ini ketika bahang saingan sepak mulanya kian terasa menjelang perlawanan pembukaan Kedah bertemu Terengganu di Alor Setar pada Sabtu ini (22 Jun 2019) dan disusuli tiga perlawanan iaitu KL City FC lwn Pulau Pinang, Kuala Lumpur lwn Pahang dan Selangor lwn Perak di Shah Alam pada Ahad ini (23 Jun 2019).

“Dengan kehadiran penaja-penaja ini, saya yakin dan pasti saingan MPFL 2019 ini akan dapat menarik minat pengikut sukan futsal di Malaysia ini untuk hadir memeriahkan venue-venue pertandingan, sekali gus memberi semangat buat para pemain kesemua pasukan tampil dengan aksi lebih bertenaga dan berkualiti tinggi,” kata Datuk Haji Rosmadi pada Majlis Pengumuman Penaja-Penaja MPFL 2019 di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun; Pengurus Pemasaran Ganador Marketing, Choong Tuck Wai mewakili Joma; Pengurus Pemasaran Sukan dan Pengaktifan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Engku Isyamuddin Tuan Losin mewakili 100PLUS dan Ketua Bahagian Sukan Astro, CK Lee

“Kami sudah menjalinkan kerjasama dengan FAM untuk tempoh yang lama, iaitu sejak 1986. Sokongan kepada futsal merupakan sebahagian daripada strategi untuk menyokong program akar umbi seperti mana kami menyokong program skuad bolasepak kebangsaan,”kata Isyam.

MPFL 2019 bagi kategori lelaki yang membabitkan sembilan pasukan iaitu Kedah, Kuala Lumpur, KL City FC, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu bakal berlangsung selama tiga bulan dari 22 Jun 2019 hingga 29 September 2019 membabitkan 18 hari perlawanan (home & away) di venue-venue seluruh negara termasuk Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuala Terengganu dan Kuantan. Kategori wanita yang disertai empat pasukan pula bakal bermula Julai ini.

- Advertisement -