Dua pasukan masih gah mempertahankan rekod kemenangan seratus peratus dalam saingan Liga Super, Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun.

Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) A cemerlang melakar kemenangan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan setakat ini termasuk kemenangan 3-0 ke atas SMK Za’ba.

Muhd Farish Daniel Mohd Rahima meletakkan SSMP A di depan sebelum tamat babak pertama sebelum dua gol pantas Muhd Nazwan Abdullah (min 51) dan Mohd Hayqal Danish Mohd Haizon seminit berselang memastikan pasukannya kekal di tangga teratas dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Di Ipoh, Perak, SMK Mutiara Impian turut mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas dua perlawanan susulan kemenangan tipis 1-0 ke atas tuan rumah, SMK Gunung Rapat sekaligus mengekori pendahulu dengan perbezaan tiga mata.

SMK Tunku Anum pula dikedudukan ketiga dengan empat mata selepas melakar kemenangan sulung, menewaskan SMK Tabuan Jaya 5-0.

Tiga gol terhasil di babak pertama menerusi Muhd Hakiki Zaidi (min 7), Muhd Naufal Amiruddin (min 10) dan Mohd Akmal Hakim Md Ridzuan (min 29) sementara Muhd Azlan Zami melengkapkan pesta gol SMK Tunku Anum dengan menyumbat dua lagi di penghujung perlawanan.

Di Bukit Jalil, SMK Seberang Temerloh terlepas peluang untuk meraih kemenangan kedua selepas diikat tuan rumah, SMK Seri Titiwangsa satu sama.

SMK Seberang Temerloh berjaya mendahului di minit ke 18 menerusi jaringan Mohd Arif Imran Abd Rahim, namun tuan rumah memanfaatkan kesilapan pertahanan pelawat untuk menyamakan kedudukan di minit 46 menerusi jaringan Luqman Hakim Sapti.

“Walaupun gagal meraih tiga mata,kita tetap berjaya meraih satu mata di tempat lawan. Percubaan pemain banyak terkena palang dan tiang, pemain lawan lebih bernasib baik.

“Serangan kita masih tumpul dan barisan pertahanan masih tampak lemah dari aspek komunikasi,”kata jurulatih SMK Seberang Temerloh, Anas Mohd Amin.

Selepas beraksi dua perlawanan SMK Seberang Temerloh menduduki tangga keempat sementara SMK Seri Titiwangsa di tangga ke lapan dengan satu mata berjaya diperolehi selepas dua perlawanan.

Satu lagi aksi Bawah 14 tahun menyaksikan memastikan SSMP B13 A menang tipis 1-0 ke atas SMK Bukit Nenas hasil jaringan tunggal Muhd Daniel Mat Disa.

Dalam saingan Liga Perdana, SSMP B menang 3-1 ke atas ‘adik’ SSMP B13 B untuk melakar kemenangan ketiga sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk menghuni kedudukan teratas dalam carta dengan 10 mata berjaya diraih.

Tangga kedua milik Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B13 yang mengekalkan rekod kemenaangan 100 peratus dalam tiga perlawanan, termasuk kemenangan 4-1 ke atas MSS Labuan untuk mengumpul sembilan mata.

Dalam saingan Liga Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 tahun, SMK Seberang Temerloh terlepas peluang untuk melebarkan jurang mata selaku pendahulu Liga Super selepas terikat dua sama dengan SMK Seri Titiwangsa.

SMK Seberang Temerloh mengumpul 7 mata, satu mata dibezakan dengan SMK Meru yang membenam SMK Taman Tasik 5-1 sementara tiga pasukan, SSMP B16, SMK Bukit Nenas dan SMK Seri Titiwangsa berkongsi empat mata untuk berada di kedudukan ketiga keempat dan kelima.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN BAWAH 14

 

SMK Seri Titiwangsa                                1

SMK Seberang Temerloh                          1

 

SMK Gunung Rapat                                  0

SMK Mutiara Impian                                1

 

SMK Bukit Nenas                                     0

SSMP B13 A                                            1

 

SMK Za’ba                                               0

SSMP A                                                   3

 

SMK Tunku Anum                                    5

SMK Tabuan Jaya                                    0

- Advertisement -