Jika prestasi pada Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Buriram di Thailand diambil kira, saingan bagi kelas Underbone 150 (UB150) dijangka bakal didominasi barisan pelumba Malaysia bagi  Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 yang akan membuka tirai di Litar Suzuka, Jepun hujung minggu ini.

Pada aksi di Buriram bulan lalu, dua pelumba Malaysia berjaya menguasai saingan menerusi Md Akid Aziz (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) yang muncul juara Perlumbaan 1 manakala pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Ahmad Fazli Sham menaiki podium selaku juara di Perlumbaan 2.

Apa yang mereka buktikan di Buriram memberi petanda positif terhadap kebangkitan pelumba Malaysia dalam kelas UB150 selepas penguasaan dua pelumba Filipina pada Pusingan 1 di Sepang, Mac lalu.

Saingan di Sepang menyaksikan kehebatan dua pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Philippines Team yang menyaksikan McKinley Kule Paz menjuarai Perlumbaan 1 manakala rakannya, Fernando Masato berada di podium utama pada Perlumbaan 2.

McKinley kini memimpin kedudukan dalam carta keseluruhan dengan mengutip 56 mata dan dia dilihat terus konsisten maraih mata dalam setiap perlumbaan setakat ini.

Kedudukan jaguh dari Filipina itu diekori rapat oleh pelumba Indonesia, Wawan Wello (51) dan pelumba Malaysia, Md Affendi Rosli (Team One For All) dengan 44 mata.

Affendi antara pelumba Malaysia yang terus konsisten meraih mata walaupun misinya untuk bergelar juara masih belum kesampaian selepas mengharungi dua pusingan perlumbaan setakat ini.

Begitupun, dia berjaya muncul naib juara pada Perlumbaan 1 di Sepang, Mac lalu diikuti tempat ketiga pada saingan di Buriram.

Minggu ini, mereka akan sekali lagi membuat perhitungan dan kali ini Litar Suzuka menjadi medan bagi memburu impian menjejak kaki di podium kemenangan.

Mampukah barisan pelumba Malaysia mengulangi kecemerlangan seperti mana yang mereka buktikan di Buriram bulan lalu kerana litar sepanjang 5.8 kilometer (km) itu bukan suatu yang mudah untuk diharungi.

Selain itu, kebangkitan beberapa pelumba Indonesia seperti Wawan Wello mahupun Richard Richie Taroreh semakin memperlihatkan perubahan positif untuk memberi tentangan.

Walaupun sebahagian besar pelumba ini sudah biasa berlumba di litar tertua itu, namun beberapa selekoh sememangnya memerlukan kebijaksanaan untuk menawannya.

Bagi Akid yang menjuarai Perlumbaan 1 di Buriram bulan lalu, dia hanya mahu fokus pada perlumbaan tanpa perlu memikirkan bentuk cabaran yang akan berlaku di atas litar nanti.

“Persediaan biasa sahaja, cuma saya perlu mengekalkan tahap kecergasan untuk mengharungi perlumbaan yang dijangka lebih mencabar.

“Kami akan harungi perlumbaan di Suzuka ini seperti biasa dan apa yang lebih penting adalah fokus terhadap perlumbaan.

“Selain itu, kestabilan jentera juga sangat penting kerana ia akan memberi keyakinan ketika mengharungi perlumbaan,” jelas Akid.

Menurutnya, setiap pelumba akan tampil memberi saingan dan ia memang sering berlaku di setiap perlumbaan.

“Bagi menghadapi situasi tersebut, kita perlu fokus dan cuba mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan,”ujarnya lagi.

Saingan bagi kelas UB150 di ARRC sememangnya menarik untuk ditonton kerana ia menampilkan 35 jentera di atas litar.

Cabaran akan bermula dengan sesi latihan bebas pada hari Jumaat diikuti Perlumbaan 1 pada Sabtu dan Perlumbaan 2 pada hari Ahad nanti.

 

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA (Lima teratas)

McKinley Kule Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippines Team – 56 mata

Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido – 51 mata

Md Affendi Rosli (MAS) TeamOne For All – 44 mata

Md Akid Aziz (MAS)UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 43 mata

Fernando Masato (PHI) UMA Racing Yamaha Philippines Team – 36 mata

- Advertisement -