Pelumba Thailand, Peerapong Boonlert terus mengukuhkan cengkamannya pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM musim ini.

Selepas menguasai tiga pusingan awal sebelum ini, pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing Team itu kembali menyengat pada Perlumbaan 2 kelas SS600 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Dia tampil dalam kelas tersendiri untuk muncul juara selepas sekadar menduduki tempat ketiga pada perlumbaan 1 semalam.

Walaupun Perlumbaan 2 itu ditangguhkan hampir setengah jam gara-gara hujan lebat di Litar Suzuka, ia ternyata tidak menjejaskan rentak cemerlang pelumba Thailand itu yang kini semakin menjarakkan dirinya dalam perebutan memburu gelaran juara keseluruhan.

Peerapong manamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12:15.719 saat (s) meninggalkan pencabar terdekatnya yang juga pelumba wildcard, Kyosuke Okuda dari Jepun dengan perbezaan masa 0.115s. Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba wildcard, Soichiro Minamimoto dari Jepun yang melakukan catatan masa 12:21.000s.

Semalam, Minamimoto mencipta kejutan selepas muncul juara Perlumbaan 1. Ketika ditemui selepas perlumbaan tersebut,

Peerapong menjelaskan bahawa dia puas hati dengan pencapaiannya di Suzuka walaupun tidak memenuhi sasaran awalnya untuk terus menguasai Perlumbaan 1 dan 2 seperti yang dilakukannya dalam tiga pusingan sebelum ini.

“Saya tetap bangga dan kemenangan ini juga terus mengukuhkan kedudukan saya dalam carta keseluruhan.

“Saya juga sudah biasa beraksi dalam keadaan hujan di Litar Suzuka dan pengalaman berlumba pada kejuaraaan Suzuka 4 Hour Endurance Race juga antara faktor yang membantu kemenangan ini.

“Pembabitan saya di Suzuka 4 Hour Race membolehkan saya mengawal keadaan dengan baik terutama apabila berdepan dengan beberapa selekoh sukar di litar ini,” jelas Peerapong.

Sasarannya selepas ini adalah untuk terus tampil konsisten pada Pusingan 5 di Zhuhai, China nanti. Pelumba Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) yang muncul naib juara Perlumbaan 1 semalam, gagal menjejak kaki di podium kemenangan pada Perlumbaan 2 hari ini apabila berada di tempat keempat dengan masa 12:25.318s.

Menurut Kasma, keadaan litar yang licin dan basah antara punca menjejaskan rentak tunggangannya hari ini. “Litar agak licin dan saya memilih untuk ‘play safe’ dan mengekalkan momentum dengan pelumba di barisan hadapan agar tidak keciciran mata.

“Saya juga berusaha untuk memberi tentangan tetapi situasi tidak mengizinkan walaupun prestasi jentera sangat stabil. Apa yang penting adalah saya tidak kehilangan mata,” tegas Kasma.

Selepas perlumbaan hari ini, Peerapong terus mengukuhkan posisinya dalam kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 191 mata diikuti Kasma (98 mata) manakala pelumba Indonesia, Andi Farid di tempat ketiga dengan 83 mata.

 

Keputusan Perlumbaan 2 SS600 (Lima teratas)

1.Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 12’15.719s

2.Kyusuke Okuda (JPN) Team MF & Kawasaki – 12’15.834s

3.Soichiro Minamimoto (JPN) Akenospeed-Yamaha – 12’21.000s

4.Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 12’25.318s

5.Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team – 12’31.687s

 

Kedudukan keseluruhan

1.Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 191 mata

2.Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 98

3.Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team – 83

4.Muhamad Adam Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing – 80

5.Azroy Hakeem Anuar (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing Team – 69

- Advertisement -