ARRC – Perseteruan Broc, Azlan jadi tumpuan di Suzuka

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/06/arrc-perseteruan-broc-azlan-jadi-tumpuan-di-suzuka">
Twitter
Pinterest

Persaingan antara pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dan Broc Parkes dari Australia dalam kelas ASB1000 kembali menjadi tumpuan apabila Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 berlangsung di Litar Suzuka, Jepun minggu ini.

Dua pelumba berpengalaman itu kini saling mengejar antara satu sama lain dalam usaha untuk memburu gelaran juara keseluruhan.

Mereka hanya dipisahkan dengan lapan mata dengan Broc memegang peranan sebagai peneraju carta keseluruhan dengan 105 mata.

Ketika Broc yang menggalas cabaran pasukan Yamaha Racing Team ASEAN sudah menikmati empat kejayaan podium setakat ini bersama jentera Yamaha R1, namun Azlan semakin cemerlang mengorak langkah bersama jentera BMW S1000RR apabila meraih kemenangan berganda pada Pusingan 3 di Buriram bulan lalu.

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team itu sudah melakar tiga kemenangan setakat ini tetapi masih gagal untuk memintas kedudukan Broc dalam senarai keseluruhan ekoran kegagalannya menamatkan perlumbaan pada Pusingan 1 sebelum ini.

Namun, setelah mendapat semula gaya tunggangan yang lebih stabil seperti yang dipamerkannya di Buriram sebelum ini, ia bukan perkara mustahil buat Azlan untuk menakluk Suzuka minggu ini.

Walaupun dilihat agak kukuh, Azlan dan Broc tidak boleh berasa selesa kerana pelumba yang menunggang jentera Honda juga semakin tampil garang untuk merealisasikan misi mereka memburu kejuaraan.

Antara pelumba yang perlu diawasi adalah Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing with Showa) yang menjuarai Perlumbaan 2 pada Pusingan 1 di Sepang Mac lalu selain meraih kedudukan kedua di Buriram bulan lalu.

Kebangkitan yang dipamerkan oleh Zaqhwan itu memberi petanda bahawa dia juga wajar diberi perhatian dalam kelas ASB1000.

Zaqhwan juga tampil konsisten setakat ini dan berjaya mengekalkan kedudukan empat terbaik menerusi enam perlumbaan yang diharunginya setakat ini. Dia kini menghuni tangga ketiga dalam carta keseluruhan dengan 84 mata.

Pelumba lain yang tidak boleh dipandang ringan adalah Yuki Ito yang menggalas cabaran pasukan Yamaha Racing Team ASEAN.

Dia juga memiliki kelebihan kerana akan turun di litar kegemarannya. Pada saingan Pusingan 4 ini, ada tiga penyertaan daripada pelumba yang memegang tiket wildcard, sekali gus bakal menyaksikan 16 jentera akan berada di atas litar untuk kelas ASB1000.

Please follow and like us:
0