Penyerang yang beraksi untuk pasukan Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi muncul pemain paling cemerlang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi selepas berjaya membenam hatrik untuk membantu Malaysia melakar kemenangan selesan 5-1 ke atas Timor Leste pada perlawanan kedua, Kelayakan Pusingan Pertama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Harimau Malaya yang membawa bekalan selesa selepas berpesta gol 7-1 ketika perlawanan pertama Jumaat lalu tidak menunggu lama untuk membuka tirai gol.

Meskipun merehatkan kapten, Farizal Marlias, Safawi Rasid dan Corbin Ong, Malaysia mendahului diminit ke 11 menerusi Shahrel Fikri yang bijak mengawal bola hantara Akhyar Rashid sebelum menewaskan Fernandes Aderito Raul.

Shahrel terus membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila menanduk masuk bola sepakan sudut Muhd Nor Azam enam minit berselang untuk Malaysia mendahului 2-0.

Sorakan lebih 12000 penyokong Harimau Malaya bertukar sepi apabila pengadil perlawanan menghadiahkan penalti kepada pelawat selepas Rufino Walter Gama dikasari penjaga gawang negara,Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Namun Ifwat cemerlang apabila menafikan sepakan yang diambil Joao Pedro da Silva Freitas.

Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang dipanggil beraksi untuk Harimau Malaya pertama kali ketika saingan Piala AFF tahun lalu menamatkan kemarau tanpa gol apabila melakar nama selaku penjaring ketiga Malaysia di minit 37 selepas menyudahkan hantaran Syazwan Andik.

Pemain Johor Darul Takzim, Muhd Akhyar Rashid mempameraksi mantap apabila melepaskan rembatan rendah melepasi jangkauan Fernandes Aderito di minit 54 untuk gol keempat Harimau Malaya sebelum Shahrel Fikri menebus kehampaan susulan gagal menyudahkan penalti apabila menjadikan kedudukan 5-0 di minit 64.

Pelawat kendalian Norio Tsukitate bagaimana pun berjaya menghukum kealpaan pertahanan Malaysia menerusi tandukan mudah Rufino hasil serangan balas daripada gerakan Pedro diminit 72.

Kemenangan 5-1 Malaysia menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menang 12-2 menerusi aggregat

Enam pasukan daripada pusingan pertama, termasuk Malaysia akan disertai 34 pasukan ranking tertinggi di Asia pada pusingan berikutnya, termasuk juara Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Pada pusingan kedua, dijadualkan September, 40 pasukan akan diundi kepada lapan kumpulan dengan lima pasukan setiap satu. Hanya pemenang kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik, akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan juga slot automatik ke Piala Asia.

Undian pasukan bagi pusingan kedua dijadualkan diadakan di Doha, Qatar, bulan hadapan.

- Advertisement -