Persatuan Tenis Kedah bakal menganjurkan kejohanan tenis berprestij “NAAM ASIAN JUNIOR TENNIS 14 & UNDER LANGKAWI 2019” di pulau lagenda Langkawi dari 24 hingga 30 Jun 2019.

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut Persatuan Tenis Kedah diberi hak penganjuran oleh pihak Asian Tennis Federation melalui Tennis Malaysia selepas kejayaan menganjurkannya dengan cemerlang pada tahun 2017 dan 2018.

Pada penganjuran tahun lepas, sejumlah 69 orang perserta lelaki dan perempuan telah direkodkan penyertaan untuk kejohanan ini.

Pada tahun ini, pihak penganjur telah berjaya merekodkan seramai 75 orang perserta yang akan menyertai pada kali ini. Sebanyak 14 negara menghantar wakil mereka.

Negara yang terlibat adalah Singapura, Thailand, Indonesia, India, Filipina, Jepun, Hong Kong, Pakistan, Vietnam, Arab Saudi, Latvia, Great Britain, Itali dan Malaysia. 70% pemain adalah dari luar negara.

Terdapat 4 kategori dipertandingkan dalam kejohanan tenis ”NAAM ASIAN JUNIOR TENNIS 14&U LANGKAWI 2019” ini, iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan perempuan dan beregu perempuan.

Format kejohanan tenis ATF ini agak berbeza dari kejohanan tenis yang lain di mana peserta perseorangan yang layak ke undian utama perlu bertanding untuk menentukan dari tempat pertama hingga ke tempat yang ke-32 selama seminggu.

Ini memberi peluang kepada peserta bertanding penuh sepanjang tarikh kejohanan. Di samping itu, mereka dan jurulatih serta ibubapa yang mengiring mereka juga dapat menikmati keindahan alam semulajadi Pulau Langkawi sambil membeli belah di pulau bebas cukai.

Malaysia mendapat hak penganjuran tahunan sebanyak 6 Siri Sirkit ATF Bawah 14 dan ATF Langkawi merupakan sirkit yang ke 3 selepas Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

3 lagi sirkit ini bakal diadakan di Sabah, Sarawak dan Selangor pada suku ketiga dan keempat tahun ini. Usaha Persatuan Lawn Tenis Malaysia membawa masuk penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ITF Juniors, ITF Futures dan ATF U14 sendiri perlu dipuji.

Ia memberi peluang secara tak langsung kepada pemain-pemain tempatan bertanding dengan kos yang lebih rendah serta menimba ilmu dari pemain luar negara.

- Advertisement -