Ejen bola sepak berdaftar Liga Malaysia, mahu membawa masuk lebih ramai pemain import berkualiti pada musim depan bagi menjadikan Liga Malaysia lebih kompetitif seiring dengan pengurusan liga yang konsisten dan efisien ketika ini.

Jelasnya, rata-rata pemain import begitu berminat untuk beraksi di negara ini sambil menyifatkan Liga Malaysia boleh membantu meningkatkan prestasi mereka.

Malah, ada di antara mereka yang pernah beraksi di Malaysia sebelum ini dan kemudiannya menabur bakti di liga yang lain sering bertanya kepadanya mengenai aksi di sini untuk mereka menyatakan hasrat ingin kembali berkhidmat dalam Liga Malaysia.

Sepertimana pemain import Selangor dari Nigeria, Ifedayo Olesegun yang pernah beraksi di Melaka United musim lalu sebelum beralih ke Liga Bahrain musim ini, dia kemudiannya hadir kembali mewarnai Liga Malaysia.

“Pada pandangan saya, Liga Malaysia ketika ini tidak pernah mengecewakan pemain-pemain import yang pernah saya bawa ke sini.

“Bahkan, mereka cukup berminat dengan tahap pengurusan Liga Malaysia yang diuruskan di sini jika dibandingkan dengan liga-liga di negara luar lain yang membuatkan mereka begitu selesa beraksi di negara ini.

“Kalau ada yang dah meninggalkan Malaysia untuk beraksi di liga negara lain, mereka tetap bertanya kepada saya perkembangan Liga Malaysia dan berminat untuk kembali pada bila-bila masa.

“Apa yang pasti, mereka sering rasa dialu-alukan apabila hadir di Malaysia dan begitu puas apabila dapat hadirkan saingan kompetitif bersama pemain-pemain lain di sini kerana itulah yang akan menjadikan prestasi mereka kian meningkat”, katanya.

Omojuwa antara ejen bola sepak berdaftar dalam Liga Malaysia yang bertanggungjawab membawa masuk pemain Ifedayo pada musim ini selain Kpah Sherman yang beraksi bersama PKNS FC, Patrick Ronaldinho mewakil PDRM dan beberapa lagi pemain import lain.

Apa yang pasti, dia hanya mahukan pemain-pemain import berkualiti dan berpotensi besar mewarnai Liga Malaysia pada musim depan.

Bahkan, kehadiran pemain import yang hebat ini secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman berguna kepada pemain tempatan lain untuk bersaing secara sihat mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya begitu berhati-hati dalam memilih pemain untuk dibawa beraksi ke sini kerana tidak ingin menjejaskan sesuatu pasukan dengan pemain yang tidak berkualiti.

“Untuk itu, saya mahu kekalkan reputasi saya sebagai ejen bola sepak yang dalam masa sama ingin bantu meningkatkan kualiti Liga Malaysia dengan kehadiran pemain import yang bagus.

“Pemain-pemain tempatan lain juga sudah pasti dapat menimba pengalaman berguna sekiranya terdapat persaingan hebat antara mereka dalam pasukan,” jelasnya.

- Advertisement -