Malaysian Football League (MFL) mengesahkan kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi musim 2019 telah menerima pembayaran hak penyiaran pada fasa pertama pada hari ini.

Beberapa prosedur diambil sebelum transaksi pembayaran itu dibuat dan atas sebab itu semua pasukan menerima pembayaran hari ini seperti yang diumumkan MFL sebelum ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, MFL sentiasa komited dan berusaha keras untuk mengagihkan hak penyiaran kepada pasukan-pasukan seperti yang dijanjikan pengendali Liga Malaysia itu.

Justeru, Kevin berharap agihan itu hari ini dapat menyelesaikan kemelut hak penyiaran bukan sahaja dapat membantu kelab dalam pengurusan kewangan mereka sebaliknya juga memastikan pasukan terus bergerak ke depan.

“MFL dapat mengesahkan bahawa kesemua pasukan telah menerima bayaran hak penyiaran pada hari ini.

“Saya berharap tiada lagi mana-mana pihak cuba mensensasikan isu hak penyiaran lagi kerana ia sudah selesai.

“Apa yang MFL lebih berminat adalah mahu melihat pasukan-pasukan Liga Malaysia bergerak lebih ke depan sebaik isu ini dapat diselesaikan dan terus fokus dalam perancangan masing-masing dalam usaha memantapkan lagi Liga Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, MFL berdepan kesukaran untuk menyelesaikan pembayaran hak penyiaran selepas Telekom Malaysia (TM) tidak membuat pembayaran musim ini sehingga MFL bertindak membatalkan kontrak syarikat itu selaku penaja utama pada Mac lalu.

Berdasarkan Perlembagaan MFL, MFL tidak diwajibkan untuk membayar hak penyiaran pasukan-pasukan jika pengendali Liga Malaysia itu tidak memiliki dana hak penyiaran hasil daripada penaja utama.

Bagaimanapun, Kevin menegaskan MFL tidak akan sesekali meninggalkan rakan-rakan kongsi mereka dalam kesukaran susulan ketiadaan TM selaku penaja utama sebaliknya MFL terus kekal komited membantu pasukan-pasukan bertanding dalam isu hak penyiaran ini.

“Sedar atau tidak, inilah peranan MFL di mana MFL sentiasa komited untuk membantu rakan-rakan kongsi kami.

“Selepas ketiadaan penaja utama, ramai pihak mempertikaikan MFL tetapi MFL tidak pernah putus asa dan sentiasa merancang yang terbaik demi kebaikan rakan-rakan kongsi kami dengan memastikan pasukan-pasukan bertanding dapat menikmati hak penyiaran seperti dijanjikan.

“Dengan MFL sudah melakukan penstrukturan hak penyiaran bagi musim depan serta melancarkan Rangka Tindakan Strategik 50-Tahun MFL atau Next50 2021-2070, kami percaya semua pasukan bersedia untuk berganding bahu dalam menjayakan misi penting ini untuk perkembangan Liga Malaysia,” katanya.

- Advertisement -