Hari yang ceria dalam duka untuk JDT

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/07/hari-yang-ceria-dalam-duka-untuk-jdt">
Twitter
Pinterest

Kemeriahan sambutan julang trofi Liga Super menjadi pengubat kekecewaan Johor Darul Takzim, JDT apabila hasrat untuk raih kemenangan buat kali terakhir di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos,Larkin tidak kesampaian pada aksi Liga Super pada Jumaat.

JDT terikat seri tiga sama menentang Terengganu pada aksi terakhir Liga yang berlangsung di laman sendiri sekali gus ia sedikit sebanyak mengundang kecewa tuan rumah untuk meraikan saat-saat terakhir di stadium keramat dengan kemenangan.

Ini kerana JDT akan mula beraksi di Stadium Sultan Ibrahim yang merupakan stadium baharu mereka bermula musim depan dan sudah pasti keputusan seri belum cukup untuk mereka berasa puas pada aksi terakhir tu.

Walaubagaimanapun, kapten pasukan JDT, Hariss Harun menyifatkan satu mata yang diraih itu tetap bermakna untuk pasukan walaupun tidak raih kemenangan selain tetap menikmati kemeriahan menjulang trofi di hadapan penyokong.

“Malam ni kami sambut kejuaraan julang trofi Liga Super tapi keputusan perlawanan pula tidak seperti yang kami harapkan.

“Separuh masa pertama kami berjaya menguasai perlawanan dengan baik untuk berada di depan, tapi kami hilang kawalan pada babak kedua untuk pihak lawan menyamakan kedudukan.

“Secara keseluruhan, kami dapat satu mata dan walaupun tidak menang, kami tetap juara Liga Super dan tetap meraikan kejayaan ini dengan seluruh penyokong”, katanya.

Kapten pasukan Terengganu FC, Lee Tuck pula menyifatkan ia adalah perlawanan yang cukup sengit tatkala mereka sudah ketinggalan pada separuh masa pertama sebelum skuad kendalian Mohd Nafuzi Mahammad Zain bangkit pada babak kedua perlawanan untuk menyamakan kedudukan.

Sudah pasti JDT inginkan kemenangan yang berharga pada aksi terakhir itu, namun Lee Tuck puji rakan sepasukan yang tidak cepat berputus asa untuk memastikan mereka dapat membawa pulang satu mata di tempat lawan.

“Sememangnya satu perlawanan yang mengujakan dan JDT juga cukup memberi cabaran kepada kami.

“Banyak peluang yang terhidang untuk JDT, tapi nampaknya pasukan kami pamer karakter tersendiri untuk bangkit pada separuh masa kedua.

“Jadi, saya memang puas dengan perlawanan ini terutamanya apabila turut berjaya jaringkan gol untuk pasukan dan satu mata yang diraih ini cukup bermakna untuk kami,” jelasnya.

Please follow and like us:
0