Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar optimis pendekatan Malaysian Football League (MFL) yang memperkenalkan struktur baharu hak penyiaran Liga Malaysia dalam usaha memperhebatkan lagi industri bola sepak tempatan.

Lebih tepat, Aminuddin memuji langkah berani pengendali Liga Malaysia itu dalam bergerak menjadi satu entiti sebagai platform penyiaran tanpa bergantung kepada mana-mana syarikat penyiar.

Tambah Aminuddin, beliau percaya pengenalan struktur baharu itu bukan sahaja memberikan manfaat besar kepada pasukan-pasukan bertanding di Liga Malaysia sebaliknya menyaksikan satu perubahan besar berlaku terutama melibatkan sokongan penuh daripada penyokong-penyokong bola sepak sendiri.

Katanya, beliau yakin pendapatan pasukan bertanding di Liga Malaysia akan bertambah menjadi semakin positif jika penyokong-penyokong terus memberikan sokongan padu kepada mereka melalui langganan siaran langsung yang akan diperkenalkan itu nanti.

“Pertama saya selaku bekas Setiausaha Agung KFA, saya melihat ia merupakan satu perkembangan yang baharu daripada MFL untuk sentiasa bergerak ke depan melalui (pengstrukturan baharu) mereka sendiri.

“Sebelum ini kita nampak ia bergantung kepada pihak-pihak tertentu sahaja tetapi untuk lebih bergerak ke masa depan dalam bola sepak negara sudah tentu daripada sudut teknologi yang sedia ada pada hari ini.

“Sudah tentu ia akan memberikan impak yang lebih baik contohnya nanti akan ada di mana kita boleh menyaksikan peminat-peminat bola sepak kita akan melanggan dan sudah tentu akan menjana pendapatan baharu kepada pasukan untuk bergerak jauh daripada apa yang kita harapkan pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis DNA Bolasepak Malaysia di Subang, baru-baru ini.

Minggu lalu, MFL telah mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia ini menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

Ini membolehkan penyokong memainkan peranan dalam membantu pasukan apabila bayaran langganan siaran langsung perlawanan akan terus kepada setiap pasukan.

- Advertisement -