Penyokong nadi bolasepak Malaysia

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/07/penyokong-nadi-bolasepak-malaysia">
Twitter
Pinterest

“Jadilah seseorang yang ada kepentingan dalam pasukan…”Demikian pendapat yang dilontarkan oleh pemerhati sukan negara, Pekan Ramli yang mengharapkan penyokong bola sepak masa kini lebih terbuka untuk menjadi tulang belakang kepada peningkatan pendapatan pasukan menerusi penstrukturan hak penyiaran baharu daripada Malaysian Football League (MFL).

Jelasnya, penglibatan penyokong tidak boleh dipinggirkan dalam membantu jana pendapatan pasukan dengan langkah yang diambil oleh MFL menerusi kerjasama rakan kongsi baharu, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC).

Malah, peminat dilihat tidak terbeban dengan langkah ini kerana mereka hanya perlu mengeluarkan sedikit wang untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan menerusi platform yang akan diperkenalkan nanti.

Melihat kepada respons positif yang diterima daripada sebahagian besar penyokong berhubung penstrukturan hak penyiaran, ia membuktikan tahap pemikiran mereka pada masa kini sudah berbeza dan lebih matang demi masa depan pasukan kesayangan masing-masing.

“Zaman dahulu dan zaman sekarang sudah banyak bezanya di mana kita kena faham bahawa tiada yang percuma pada ketika ini termasuklah untuk menonton perlawanan-perlawanan secara langsung.

“Kita sebagai penyokong pun kena fahamlah yang hasil daripada apa yang sudah kita laburkan itu akan pergi kepada pasukan-pasukan juga untuk membantu kewangan mereka.

“Kita nak anggap sukan bola sepak ini sebagai satu industri, tapi kita sendiri tidak mahu menyumbang dan benda itulah kena ubah kerana sekarang ni tidak boleh lagi nak mengharapkan agar kita sentiasa disajikan dengan aksi-aksi sukan secara percuma”

“Oleh itu, saya tidak rasa pun benda ini (penstrukturan hak penyiaran) akan membebankan penyokong kerana inilah masanya untuk kita tengok para penyokong dilabel sebagai satu kepentingan hakiki dalam peningkatan pasukan Liga Malaysia”, katanya.

Walaubagaimanapun, semuanya harus berbalik kepada mekanisme terbaik yang akan diperkenalkan nanti kepada penyokong tanah air di mana ianya haruslah berbaloi seiring dengan apa yang akan dibayar oleh mereka untuk melanggan.

Pekan yang berpengalaman dalam bidang penyiaran sukan dan dikenali sebagai pengulas sukan tempatan serta antarabangsa tetap menganggap perancangan yang dilakukan oleh MFL menerusi kerjasama EVC adalah sangat baik untuk jangka masa panjang.

Antara cabaran utama pastinya untuk memastikan siaran perlawanan yang berlangsung mempunyai kualiti yang tersendiri.

“Perlu diingat, setiap apa yang dibayar sudah pasti penyokong mengharapkan produk yang terbaik iaitu kualiti perlawanan yang sepatutnya.

“Itulah yang perlu dilakukan oleh MFL dalam memastikan mekanisme terbaik yang perlu diperkenalkan dan di sini kita dapat simpulkan bahawa penyokong secara tidak langsung tidak akan merasa terbeban pun untuk bayar kepada sesuatu yang berbaloi”, jelasnya.

Please follow and like us:
0