Meskipun dipalit dengan kontroversi doping, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih berlapang dada untuk menerima sukan angkat berat sebagai salah satu acara yang dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan berlangsung di Johor.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan, keputusan itu bergantung kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA samada mahu menerima sukan angkat berat ke dalam temasya dwi tahunan itu atau sebaliknya.

Saddiq juga meletakkan syarat kepada sukan angkat berat andai diterima sebagai salah satu acara yang dipertandingkan.

“Kita perlu pastikan jika mahu mengangkat sukan tersebut, kita tidak akan berikan lesen kepada yang terlibat dengan doping kerana saban tahun isu yang sama berulang. Walaupun diluluskan, kita tidak mahu kes doping berulang,”kata Saddiq.

Pada SUKMA Perak 2018, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan empat kes doping dikesan melibatkan tiga atlet sukan angkat berat dan satu daripada sukan judo.

SUKMA Johor dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai, sebelum berlangsungnya Olimpik di Tokyo, Jepun.

- Advertisement -