Velofit, China’s Liv Pro antara terawal sahkan penyertaan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/07/velofit-chinas-liv-pro-antara-terawal-sahkan-penyertaan">
Twitter
Pinterest

PENGANJURAN sulung Le Tour de Femina (LTdF) 2019, perlumbaan jelajah berbasikal berkelas antarabangsa wanita pertama di Malaysia, menerima sambutan hangat dengan lebih 40 pasukan dan kelab elit wanita menyatakan minat mendalam untuk turut serta dalam perlumbaan yang dijadual berlangsung pada September ini.

Ekoran pelancaran rasmi LTdF pada Mei lepas, penganjur perlumbaan, Ciclista Sports Sdn Bhd menerima maklum balas positif berhubung penyertaan daripada komuniti dan pasukan professional, benua, kelab selain pasukan kebangsaan wanita dari Eropah, Asia dan juga Asia Pasifik.

Velofit Australia, pasukan kelab yang berpangkalan di Perth, dan skuad benua  China Liv Pro Cycling merupakan antara yang terawal mengesahkan penyertaan. Penganjur mengesahkan penyertaan kedua-dua pasukan selain beberapa pasukan utama lain bagi perlumbaam yang dijadualkan dari 7 hingga 12 September itu.

Pengalaman luas berlumba di bawah cuaca terik tropika di Asia Tenggara termasuk Thailand dan Vietnam pasti memberi sedikit kelebihan buat Velofit Australia yang dijangka mengetengahkan barisan pelumba muda dan berpengalaman bagi aksi julung kali di Malaysia itu.

“Velofit amat gembira mendapat peluang berlumba dalam perlumbaan yang berstatus tinggi ini. Kami harap dapat membantu mengembangkan sukan berbasikal di kalangan wanita dan membangunkan sukan secara amnya bagi wanita di rantau ASEAN,” kata Velofit dalam satu kenyataan.

Dalam pada tu, pasukan China Liv Pro Cycling juga dianggap antara pencabar utama hasil pengalaman luas bersaing dalam jelajah berstatus elit di rantau ini termasuk  Tour of Chongming Island (UCI2.WWT) dan Tour of Zhousyan.  

Kehadiran pelumba utama seperti bekas juara Asia Pu Yixian, yang menduduki ke-6 keseluruhan dalam Tour of Zhousyan 2019, mampu menggalas cabaran dalam saingan keseluruhan manakala Zhao Xi Sha (ke-4 Peringkat 3, ke-12 keseluruhan dan ke-8 keseluruhan dalam saingan mata Tour of Chongming) juga dijangka memperkuatkan saingan pasukan.

Wu Pei Xiao, yang meraih kedudukan ke-3 keseluruhan dalam saingan bukit pada Jelajah Zhoushan Island II juga antara nama besar pasukan yang mampu memberi kelebihan kepada saingan keseluruhan China Liv Pro.

Jelajah 6 peringkat bermula dari 7 hingga 12 September itu akan menyusuri jarak keseluruhan sejauh 719.9 km dengan jangkaan penyertaan seramai 130 pelumba dari Eropah, Asia dan Amerika Syarikat.

LTdF merupakan perlumbaan yang diiktiraf badan dunia UCI dan dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Ia merupakan usaha Ciclista Sports untuk menjadikan Malaysia sebagai antara hab penting berbasikal wanita di rantau ini selain menjana pertumbuhan pelancongan sukan menerusi pendedahan media dan siaran televisyen yang menyeluruh dan global.

“Kami teruja dengan penganjuran perlumbaan sulung ini dan pada masa yang sama, berharap dapat membantu kepada peningkatan status berbasikal wanita secara berterusan dan konsisten di rantau ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports Sdn Bhd Shahirudeen Seeni. 

Ketika ini, terdapat 23 perlumbaan berstatus elit di bawah kalendar Jelajah Dunia Wanita UCI.

 

MENGENAI LE TOUR de FEMINA 2019

Le Tour de Femina 2019 merupakan perlumbaan jelajah wanita yang dianjurkan di Malaysia buat julung kali dan diperakui di bawah kalendar Jelajah Asia UCI. Idea perlumbaan dicetuskan oleh Ciclista Sports Sdn Bhd dengan tujuan menggalak dan meningkatkan penyertaan wanita dalam perlumbaan elit antarabangsa selaras dengan Agenda 22 UCI yang menggalakkan penyertaan wanita dalam sukan berbasikal. Perlumbaan 6 peringkat itu dijadualkan dari 7 hingga 12 September 2019 dan diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Ia dijangka menarik penyertaan pelumba dan pasukan dari Eropah, Amerika Syarikat, Oceania dan Asia.

Please follow and like us:
0