Pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi terpaksa melupakan saingan Pusingan 4 kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Pontian, Johor minggu ini bagi memberi tumpuan menghadapi perlumbaan endurance Suzuka 8-Hour (S8H) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun pada 25 hingga 28 Julai nanti.

Aksi Pusingan 4 di Pontian akan berlangsung hujung minggu ini (20-21 Julai) dan tarikhnya agak rapat dengan misi Zaqhwan di Suzuka.

Justeru, dia terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Cub Prix kerana dia memerlukan masa yang cukup untuk membuat segala persiapan.

Pelumba asal Selangor itu kini berada di Suzuka bagi menjalani ujian kecergasan kerana S8H memerlukan tahap ketahanan yang tinggi.

Pada S8H nanti, Zaqhwan akan sekali lagi menjadi taruhan pasukannya, Honda Asia Dream Racing with Showa untuk mencipta kejutan selepas tampil cemerlang pada edisi 2017 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan.

Menurut Zaqhwan, dia terpaksa melupakan aksi Pusingan 4 Cub Prix di Pontian kerana perlu melakukan persiapan khusus untuk menghadapi S8H.

“Ia bukan satu keputusan yang mudah, lagi pun pasukan kami ketika ini sedang berada dalam momentum terbaik di Cub Prix.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan pasukan bagi membolehkan saya membawa nama negara di Suzuka nanti.

“Begitupun, saya tetap yakin bahawa pasukan kami mampu menghasilkan keputusan cemerlang di Pontian nanti seperti yang telah dibuktikan pada dua pusingan awal sebelum ini. Kesemua pelumba dalam pasukan sangat komited dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di atas litar,” jelas Zaqhwan yang menggalas pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing dalam saingan Cub Prix Malaysia Petronas.

Ketika ini, Zaqhwan berada di kedudukan kelima keseluruhan kelas CP150 dengan mengumpul 31 mata. Pengurus pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini ketika dihubungi menjelaskan bahawa ketiadaan Zaqhwan di Pontian nanti mungkin sedikit terasa, namun mereka perlu melihatnya daripada sudut yang lebih positif.

Kata Yuzy, tanpa kehadiran Zaqhwan, barisan pelumba lain perlu bekerja keras untuk terus mengutip mata bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta keseluruhan.

“Dalam tiga pusingan awal sebelum ini, Zaqhwan terus konsisten menyumbang mata buat pasukan walaupun dia masih belum bergelar juara. Pencapaian terbaik dia setakat ini adalah menduduki tempat ketiga pada aksi pembuka tirai di Jasin, Melaka awal tahun ini.

“Kini, Harith (Md Harith Farhan Baharin) perlu bekerja keras untuk menyumbang mata kepada pasukan,” jelas Yuzy. Yuzy juga yakin, seorang lagi pelumbanya, Azroy Hakeem Anuar mampu mengulangi kecemerlangannya di Pontian nanti selepas menjuarai perlumbaan di Jasin dan Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ini.

Pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing kini mengungguli kedudukan keseluruhan pasukan dengan mengumpul 86 mata, meninggalkan pencabar mereka, Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing di tempat kedua dengan perbezaan empat mata.

“Kami tidak boleh kehilangan mata bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dan sebab itulah ketiadaan Zaqhwan mungkin sedikit terasa kerana dia antara penyumbang yang konsisten. Saya harap, Harith mampu membuktikan kehebatannya di Pontian nanti,” tambah Yuzy lagi.

- Advertisement -