Skuad bawah 15 tahun negara membuktikan kemampuan mereka sekaligus layak digelar juara Kejuaraan AFF B15 di Chonburi, Thailand selepas bangkit mengatasi tuan rumah 2-1 di pentas final.

Senario yang sama ketika aksi separuh akhir diantara Malaysia dan Vietnam, skuad kendalian P Maniam ketinggalan di babak pertama apabila Theekawin Chansri meletakkan Thailand didepan 1-0 di minit 16.

Keresahan mula timbul diwajah pengendali negara P Maniam yang terus mengarahkan pemain pemain untuk terus fokus mengawal permainan.

Kesabaran dalam mencari jalan dibayar dengan jaringan penyamaan menerusi rembatan deras Muhd Izrin Ibrahim yang gagal ditampan kemas penjaga gol tuan rumah di minit 69.

Tatkala keadaan semakin genting dengan asakan bertubi tubi oleh kedua dua pasukan ke atas lawan masing masing, tuah sekali lagi memihak Malaysia di penghujung perlawanan apabila Muhd Nabil Qayyum menjaringkan gol kemenangan Malaysia di minit 79.

Permainan dicemari dengan insiden pergaduhan memaksa pengadil perlawanan melayangkan dua kad merah kepada pemain Thailand dan satu untuk Malaysia sebelum wisel penamat ditiup menandakan gelaran juara menjadi milik Malaysia.

Turut hadir meraikan kejayaan skuad B15 tahun negara, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Malaysia muncul juara kumpulan B tanpa sebarang kekalahan termasuklah mengejutkan Australia 3-0 dan seri menentang tuan rumah, Thailand, satu sama.

Malaysia meraih kemenangan 3-1 ke atas Vietnam sekaligus mengesahkan slot ke final bagai penentuan juara.

- Advertisement -