Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar kembali menemui rentak kemenangan dalam kelas CP150 pada aksi Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang berakhir di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus.

Ia merupakan kemenangan ketiga buat Azroy musim ini selepas menjuarai perlumbaan Pusingan 1 (Jasin, Melaka) dan 2 (Batu Kawan, Pulau Pinang), sekali gus membuktikan kebangkitan jentera Honda yang kurang menyerlah dalam tiga perlumbaan terakhir.

Ia kemenangan penuh dramtik buat Azroy yang bijak mencuri peluang untuk memintas dua pelumba di hadapannya ketika saingan menghampiri garisan penamat.

Ketika dua pelumba di hadapan, Nazirul Izzat Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team) dan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) bersaing hebat untuk memburu podium utama, Azroy bertindak pantas untuk mengatasi dua pelumba tersebut, sekali gus mencecah garisan penamat dengan catatan masa 16:42.092 saat (s).

“Ia kemenangan yang amat bermakna buat saya selepas gagal menamatkan perlumbaan di Pontian sebelum ini.

“Perlumbaan tadi sangat mencabar dan semua pelumba bersaing hebat sehingga ke lap terakhir. Saya memilih untuk mengharungi perlumbaan tersebut secara selamat dan akhirnya kemenangan memihak kepada saya,” jelas Azroy.

Tempat kedua perlumbaan tersebut menjadi milik Nazirul dengan masa 16:42.197s manakala Afif yang mendapat sokongan daripada penyokong tempatan sekadar menduduki tempat ketiga dengan masa 16:42.264s.

Sebelum itu, Mohd Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) dilihat sebagai pelumba pilihan untuk menguasai perlumbaan tersebut selepas tampil cemerlang pada sesi kelayakan semalam, namun dia gagal mengulanginya pada perlumbaan akhir.

Helmi sekadar menamat perlumbaan di tempat ke-13 dengan masa 17:17.024s. Selepas berakhirnya saingan Pusingan 5, Afif kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan 94 mata manakala Azroy di tempat kedua dengan 80 mata.

Pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing pula mendahului carta keseluruhan dengan 128 mata.

Perlumbaan dua hari itu berjaya menarik kira-kira 25,000 penonton yang memenuhi setiap ruang di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri yang baharu itu. Selepas ini, saingan Pusingan 6 akan berlangsung di Teluk Intan Perak pada 7-9 September nanti.

- Advertisement -