Bahang Piala Malaysia semakin terasa dengan kejutan terbaru dilakar PDRM dalam aksi kedua Kumpulan D semalam.

Status selaku pasukan Liga Perdana bukan penghalang buat anak buah E Elavarasan melakar kemenangan ke atas kelab Liga Super, Felda United 4-3 sekali gus memberikan amaran bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam saingan merebut kejuaraan berprestij itu.

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka itu, PDRM yang tewas 1-3 kepada Melaka pada aksi pertama, terpaksa bermain 10 pemain selepas Farid Ramli diarahkan keluar padang susulan layangan kad merah pada minit ke-53.

Bagaimanapun pasukan bimbingan Elavarasan tetap berjaya bangkit menerusi dua jaringan R Gopinathan pada minit ke- 78 dan 88 sebelum gol kemenangan disempurnakan Azmizi Azmi pada minit ke-90.

Mengulas lanjut, Elavaran memberitahu beliau sangat berbangga dengan semangat juang anak buahnya yang masih berupaya mencatatkan kemenangan biarpun beraksi dengan 10 pemain.

“Ketika (ketinggalan) 1-3 (dan) bila kami kekurangan satu pemain, saya melihat Felda United sedikit leka sedikit disebabkan tahap keyakinan mereka tinggi ketika mendahului kedudukan perlawanan.

“Saya fikir keputusan 1-3 dan PDRM bermain 10 pemain mungkin membuatkan Felda United bermain lebih santai.

“Saya sangat berbangga kerana anak-anak buah saya menunjukkan satu semangat positif di mana saya fikir Felda United pun sama di mana mereka turut memikul misi kutip tiga atau satu mata.

“Bagi PDRM, kemenangan ini sangat penting untuk menghidupkan peluang bermain di pusingan kedua (suku akhir) dan itulah yang paling mustahak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Elavarasan mengharapkan PDRM akan dapat terus mengekalkan momentum selepas berjaya meraih kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Jelasnya, PDRM tidak berminat untuk menyerah awal dalam misi memburu slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas mempamerkan kebangkitan bergaya menewaskan Felda United.

“Kejayaan mengutip tiga mata adalah satu motivasi baik untuk pasukan kerana aksi pertama PDRM tewas di tangan Melaka dan sudah tentu kita perlukan mata lagi pada perlawanan akan datang,” katanya.

- Advertisement -