FAM-PSM tandatangani perjanjian untuk aksi Harimau Malaya

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/08/fam-psm-tandatangani-perjanjian-untuk-semua-aksi-harimau-malaya-berlangsung-di-stadium-nasional">
Twitter
Pinterest

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), hari ini telah menandatangani satu perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2020 untuk menjadikan Stadium Nasional yang terletak di Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi.

Ini menjadikan kesemua perlawanan tempat sendiri skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020 serta perlawanan tempat sendiri bagi Piala Suzuki AFF 2020 pada November hingga Disember 2020 akan berlangsung di Stadium Nasional yang secara rasminya menjadi ‘Rumah Harimau Malaya’.

Perjanjian berkenaan turut boleh dilanjutkan untuk tempoh tambahan dua tahun lagi iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, jika mencapai persetujuan bersama daripada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun mengikut perjanjian itu, skuad Harimau Malaya dibenarkan untuk beraksi di stadium-stadium lain di seluruh negara jika ia hanya membabitkan perlawanan-perlawanan persahabatan.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah berlangsung di Stadium Nasional, KLSC, Bukit Jalil, di sini, hari ini dengan FAM diwakili oleh presidennya, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin manakala PSM diwakili oleh pengerusinya, Tan Sri Dr Tony Fernandes sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dato’ Haji Hamidin berkata: “Perjanjian ini melakarkan satu bentuk kerjasama daripada FAM untuk memastikan ‘Rumah Harimau Malaya’ ditempatkan di sebuah stadium yang cantik, moden dan canggih seperti Stadium Nasional ini yang mana keutamaan perlu diberikan kepada para penyokong menerusi kemudahan pengangkutan awam dan juga keselesaan mereka ketika berada di dalam stadium.

“Selain itu, kerjasama dengan PSM ini turut bakal membuka peluang untuk cadangan pembinaan Muzium Harimau Malaya dan juga Kedai Rasmi Harimau Malaya di Stadium Nasional ini yang masih dalam proses perbincangan. Saya pasti ia sememangnya dinanti-nantikan oleh para penyokong dan peminat Harimau Malaya.”

Tan Sri Dr Tony pula menambah: “Kerjasama dengan FAM ini mampu menaikkan lagi prestij dan imej KLSC yang mana Stadium Nasional kini secara rasminya telah diiktiraf sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’.

“Sudah tentu PSM mahu membantu pembangunan bola sepak di Malaysia ini dengan memberi peluang kepada para penyokong Harimau Malaya menyaksikan persembahan skuad kebangsaan di venue bola sepak yang paling moden di Malaysia ini.”

Sementara itu, FAM dan PSM sedang bekerjasama untuk merealisasikan sistem penjualan tiket seratus peratus secara online bagi perlawanan-perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional.

Perbincangan mengenai perkara tersebut memerlukan masa yang lebih bagi memastikan semua aspek penjualan dan operasi perlawanan dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

FAM dan PSM turut akan cuba memperkenalkan penjualan tiket mengikut nombor tempat duduk yang mana ia juga masih dalam peringkat perbincangan berhubung cara operasinya. Kedua-dua inisiatif ini akan cuba dilancarkan menjelang perlawanan bertemu UAE pada 10 September ini.

Dengan kerjasama ini, proses pemeriksaan keselamatan di pintu masuk stadium menggunakan alat pengimbas pengesan logam (metal detector scanner) dan alat pengimbas tangan (hand held scanner) serta laluan ekspres bagi penyokong yang tidak membawa beg akan diperkenalkan bagi memastikan aliran masuk penyokong ke stadium berjalan dengan lebih lancar.

“Terima kasih kepada PSM yang hadir ke hadapan bagi membantu pembangunan bola sepak Malaysia dan Tan Sri (Tony) sendiri sebagai ikon korporat dan ikon bola sepak di Malaysia ini yang secara langsung tampil untuk mengambil inisiatif sendiri bagi membantu bola sepak di peringkat kebangsaan ini.

“Kami di FAM mengalu-alukan kerjasama dengan PSM ini yang mana imej bola sepak negara dapat dinaikkan. Saya juga menyeru agar pihak organisasi dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain dapat tampil ke hadapan untuk kita sama-sama menaikkan bola sepak Malaysia,” tambah Dato’ Haji Hamidin.

Bagi tempoh terdekat ini, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi dua perlawanan di Stadium Nasional iaitu bertemu Jordan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 30 Ogos 2019 dan perlawanan kedua Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE pada 10 September 2019.

Skuad Harimau Malaya bakal membuka kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September 2019.

Please follow and like us:
0