Jangan tunggu JDT sahaja – Harriss

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/08/jangan-tunggu-jdt-sahaja">
Twitter
Pinterest

Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) Hariss Harun percaya misi untuk melihat pasukan tempatan mengungguli kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dalam masa 15 tahun tidak harus disandarkan kepada kelab Harimau Selatan itu sahaja.

Sebaliknya semua pasukan Liga Malaysia boleh menyerlah di kejohanan itu andai sudah merangka persiapan rapi bagi menyaingi kelab-kelab besar di rantau Asia.

Sasaran untuk melihat pasukan tempatan mengungguli ACL terkandung dalam misi Next50 Strategic Blueprint Malaysian Football League (MFL) dan JDT berjaya membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu musim ini dengan prestasi agak baik apabila berjaya memberikan tentangan hebat.

Jelas pemain kelahiran Singapura ini, JDT dalam laluan terbaik untuk melaksanakan sasaran dalam Next50 tetapi itu tidak bermakna pasukan-pasukan lain tidak mempunyai peluang sama kerana Hariss percaya dalam tempoh 15 tahun, tahap persaingan dalam Liga Malaysia akan menjadi lebih sengit dan menarik.

Apa yang penting adalah kerjasama semua pasukan untuk mempunyai perancangan yang menyeluruh membentuk skuad terbaik pada masa akan datang di samping sama-sama membantu melaksanakan tanggungjawab menjayakan misi Next50.

“Saya harap Liga Malaysia ini akan berkembang dengan lebih jayanya dan 50 tahun Blueprint adalah satu tempoh yang cukup lama dan macam-macam boleh jadi dalam tempoh masa tersebut.

“Jadi tugas kami sebagai pemain adalah untuk sentiasa memperbaiki prestasi dengan lebih baik dan bukan hanya JDT, tetapi pasukan-pasukan lain juga turut main peranan untuk memastikan setiap sasaran dalam Blueprint itu tercapai dalam tempoh yang ditetapkan.

“Dan sudah pasti kerjasama yang sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti Liga Malaysia dari masa ke semasa kerana jika kita ada liga yang kukuh dan berkembang, ia juga mampu memberi kesan positif kepada pasukan kebangsaan juga di samping misi untuk bersaing dalam kejohanan ACL”, jelasnya.

Pemain import Terengganu, Lee Tuck turut mempunyai pandangan yang sama selain turut menekankan aspek penyokong untuk menjadi nadi penting kepada perkembangan bolasepak Liga Malaysia.

Bahkan, pemain-pemain juga perlu sedar pendedahan mengenai perkembangan prestasi pemain kepada pihak media juga penting di mana ia secara tidak langsung bakal memberikan impak positif untuk dikongsi kepada para penyokong.

“Bermula tahun hadapan, semua tahu penyokong akan menjadi keutamaan dalam perjalanan Liga Malaysia di mana mereka akan turut membantu peruntukan pasukan menerusi penstrukturan hak penyiaran yang dilancarkan sebelum ini.

“Kita nak lebih ramai penyokong memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing, tetapi dalam masa sama, saya percaya pendedahan dan berita positif mangenai pasukan dan pemain juga penting.

“Pemain-pemain juga perlu pandai berinteraksi dengan pihak media untuk berkongsi perkembangan diri dan secara tidak langsung memberikan cerita yang positif untuk dikongsi bersama penyokong”, katanya.

Please follow and like us:
0