PBNS berang sikap PFAM

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/08/pbns-berang-sikap-pfam">
Twitter
Pinterest

 

Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menempelak sikap tidak beretika Persatuan Pemain-Pemain Profesional Bolasepak Malaysia (PFAM) yang disifatkan tidak bertanggungjawab apabila mensensasikan isu tuntutan hak pembayaran tunggakan gaji.

PBNS cukup kesal dengan tindakan PFAM apabila tidak memberikan laporan tepat terhadap kes tunggakan gaji Alex De Moraes di mana badan induk persatuan negeri itu sebenarnya telah menjelaskan masalah hutang bekas pemain import mereka lebih awal.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Kehormat PBNS, Satwant Singh yang menyatakan pihaknya berasa kecewa dengan tindakan melulu PFAM yang mencemarkan nama baik PBNS.

Ini kerana Satwant menegaskan, bayaran baki tunggakan gaji De Moraes telah dijelaskan pada tarikh 2 Ogos lalu sekali gus menepis kenyataan yang dibuat oleh pihak PFAM.

“Untuk menerangkan kronologi berkenaan kenyataan yang tidak benar dikeluarkan oleh PFAM, PBNS telah menjelaskan bayaran baki tunggakan gaji pemain tersebut pada 2 Ogos 2019, manakala PFAM membuat tuduhan bahawa PBNS mempunyai tunggakan gaji pada 4 Ogos 2019.

“Apa yang mengecewakan apabila pada 6 Ogos 2019, PFAM menyatakan tunggakan gaji tersebut baharu sahaja diselesaikan oleh PBNS.

“PBNS amat kecewa dengan kenyataan yang dikemukakan oleh PFAM yang mengelirukan dan merupakan propaganda untuk menjejaskan imej dan hubungan di antara PBNS dan FAM.

“Diharapkan perkara sebegini tidak diambil ringan dan PFAM perlu merujuk kepada PBNS untuk mendapatkan status sebenar terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Satwant berharap PFAM lebih peka dan profesional dalam tuntutan melibatkan isu tunggakan pembayaran gaji dengan menggunakan saluran tepat.

Katanya, PFAM seharusnya lebih berhati-hati dan menghormati imej persatuan negeri dan mengambil pendekatan mendengar kedua-dua pihak bukannya mendengar sebelah pihak sahaja.

“Tolong hormati imej persatuan dan kenyataan mereka secara tidak langsung telah memalukan persatuan.

“Kalau silap, (PFAM) seharusnya mengaku sahaja dan jangan mencari kesalahan persatuan dengan mempercayai pemain secara bulat-bulat. Jika pemain tidak memaklumkan pembayaran sudah dibuat kepada PFAM, itu bukan kesalahan pihak persatuan, pihak PFAM seharusnya mengambil inisiatif mendapatkan maklumat daripada pihak persatuan.

“Untuk makluman, kami bekerja secara dokumen dan sepatutnya PFAM harus lebih peka dalam isu ini. Sila semak dahulu dengan persatuan sebelum mahu mengeluarkan kenyataan.

“Seperti saya katakan tadi, amalkan sikap profesional dengan menyerahkan dokumen secara rasmi dan bukannya mengikut saluran (mesej) Whatsapp,” ujarnya.

Please follow and like us:
0