Setiausaha Agung PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin akan memastikan kelab Liga Super itu lebih bersedia dalam soal pengurusan kewangan pada saingan musim depan bagi hadapi segala kemungkinan yang tidak dijangka.

Jelasnya, setiap pasukan perlu bergerak dengan lebih proaktif dalam menguruskan perbelanjaan sambil menyifatkan hak penyiaran sebenarnya satu bonus daripada MFL untuk membantu pasukan.

Namun, semua pihak harus memahami situasi yang melanda badan pentadbir Liga Malaysia itu selepas ketiadaan penaja utama, Telekom Malaysia (TM) dan semua pasukan yang bertanding perlu bersedia dengan menyediakan bajet berpatutan berdasarkan kemampuan bagi mengelak masalah kewangan di kemudian hari.

“Sebelum ini saya pernah menyebut bahawa inisiatif MFL untuk membantu pasukan dengan memberikan wang hak penyiaran adalah dikira sebagai bonus dan kita juga tidak pernah jangka untuk menerima insentif sebanyak itu.

“Walaubagaimanapun, kami ucapkan terima kasih kepada MFL atas usaha berkenaan dan sebenarnya melihat kepada senario ekonomi sekarang, sememangnya bukan mudah mencari penaja baharu dan kami memahami situasi yang dialami oleh MFL.

“Malah, kami sebagai pasukan sendiri nampaknya perlu bersedia dengan lebih baik menguruskan perbelanjaan dengan berhemah ikut kemampuan masing-masing kerana apa-apa pun boleh berlaku pada musim hadapan dan dengan strategi yang lebih teratur, saya percaya kita dapat stabilkan ekonomi pasukan masing-masing,” katanya.

Pada Rabu, Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL), Mustaza Ahmad mengesahkan badan pentadbir Liga Malaysia itu sedang berusaha melengkapkan proses dokumentasi untuk menerima dana bagi menyelesaikan baki bayaran hak penyiaran kepada pasukan bertanding musim ini.

Katanya, semua pasukan sedia maklum menerusi notis yang diserahkan oleh MFL di mana MFL sedang dalam proses dokumentasi dengan pihak-pihak tertentu bagi melaksanakan pembayaran kali kedua.

Dalam pada itu, pihak PKNS FC berlapang dada serta memberi ruang dan masa kepada MFL untuk menyelesaikan segala proses yang diperlukan sebelum memberikan baki hak penyiaran fasa kedua kepada pasukan.

Dalam masa yang sama, Adi turut mengharapkan sinar yang lebih cerah buat badan penganjur liga itu pada musim hadapan untuk bergerak dengan lebih kuat selepas berdepan segala cabaran dan kritikan pada tahun ini.

“Kami di pihak PKNS FC memahami situasi yang berlaku dan kami juga sudah menerima notis daripada MFL berhubung perkara itu atas sebab proses dokumentasi yang sedang berjalan.

“Kami tiada masalah memberi ruang bagi pihak MFL menyelesaikan hal-hal yang sepatutnya sebelum memberikan baki insentif tersebut.

“Tidak dinafikan, bukan PKNS FC sahaja malah semua pasukan mengharapkan wang hak penyiaran itu tetapi kita juga perlu faham masalah yang sedang dihadapi dan kami juga sedar nak cari penaja dan bajet untuk pasukan sendiri pun bukan senang serta mengambil masa, inikan pula MFL,” katanya.

- Advertisement -