Program Pembanguna Berbasikal Remaja CIMB – Junior Cycling Malaysia (JCM) mengorak langkah yang lebih kukuh dalam pembangunan sukan berbasikal apabila perjanjian kerjasama dua tahun bersama jenama tempatan, Pro Apparel diumum secara rasmi dalam satu pengumuman penajaan di Seremban, semalam.

Dalam pengumuman yang dibuat bersempena dengan hari terakhir penganjuran Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB dan Kriterium Yayasan CIMB Siri Kelima, Pro Apparel diumum sebagai Rakan Pakaian dan Kit Perlumbaan Rasmi Junior Cycling Malaysia.

Tempoh perjanjian tersebut telah pun berkuat kuasa bermula Januari tahun ini sehingga Disember tahun hadapan.

Pengarah Urusan Pro Apparel Asia, Muhammad Nur Farhan, berkata: “Tahun ini adalah tahun yang istimewa buat Pro Apparel kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan JCM dalam membangunkan bakal-bakal bintang berbasikal negara, secara tidak langsung memberikan pendedahan awal tentang dunia lumba basikal.

Dengan kerjasama ini, saya berharap agar momentum program JCM dapat dikekalkan dan diperhebatkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa seiring dengan misi jenama kami,” tambah beliau.

Melalui kerjasama yang diumum, Pro Apparel bersetuju menaja pakaian bagi siri kejohanan kriterium, lumba lebuhraya, ujian masa, trek dan klinik anjuran JCM selain daripada kit perlumbaan buat para pelumba yang menyertai Jelajah Eropah dan Australia.

Baru-baru ini, seramai lapan pelumba turut serta di dalam Jelajah Eropah bermula dari Belgium hingga ke Belanda dalam satu program pendedahan buat pelumba-pelumba terpilih, dan antara kejayaan yang berjaya dicatat ialah kemenenangan pelumba Terengganu, Afiq Iskandar di Kriterium De Draai, Belanda.

Majlis pengumuman tersebut disempurnakan menerusi pemberian plak jersi Pro Apparel kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Terengganu diumumkan sebagai pemenang pasukan terbaik Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB diikuti Kelantan dan Selangor.

Pelumba Terengganu, Kee Zhe Yie muncul pendahulu individu keseluruhan.

- Advertisement -