Saingan Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini akan menjadi misi penting buat pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi.

Dia perlu berada di podium kemenangan dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya dalam carta keseluruhan bagi kelas ASB1000.

Selepas mengharungi lima pusingan, pelumba pasukan Idemitsu Honda Asia Dream Racing with SHOWA itu berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 153 mata, ketinggalan 35 mata di belakang pendahulu, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) dari Australia.

Pelumba asal Selangor itu tidak boleh kehilangan mata lagi jika mahu terus memberi tekanan kepada Parkes dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan.

Berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh Zaqhwan dalam beberapa pusingan sebelum ini, ia bukan perkara mustahil untuk direalisasikan kerana dia kekal konsisten menghuni kelompok lima pelumba terbaik dalam 10 perlumbaan terdahulu.

Malah, dia sudah beberapa kali menewaskan Parkes termasuk pada aksi pembuka tirai di SIC, Mac lalu.

“Saya berasa teruja untuk kembali beraksi di Sepang bagi mengharungi saingan Pusingan 6 ARRC ini. Krew pasukan telah melakukan banyak perubahan terhadap kemampuan jentera yang saya tunggang sejak daripada Pusingan 1 lagi.

“Berbekalkan latihan berterusan yang saya harungi selama ini, saya yakin untuk meraih kejayaan di gelanggang sendiri hujung minggu ini,” jelas Zaqhwan yang sudah muncul juara sebayak dua kali musim ini masing-masing di Sepang, Mac lalu dan Zhuhai pada Ogos lalu.

Jika Zaqhwan berjaya memungut 40 mata di Sepang hujung minggu ini, impiannya untuk menjadi pelumba pertama menjuarai kelas ASB1000 akan tertangguh buat seketika.

Pusingan terakhir di Buriram, Thailand pada November nanti bakal menjadi penentuan antara dia dan Parkes dengan syarat pencabarnya itu gagal meraih mata maksimum di Sepang nanti.

“Sasaran saya di Sepang adalah untuk menjadi juara berganda (Perlumbaan 1 dan 2). Jika saya mampu melakukannya, maka saingan di Buriram nanti akan menjadi detik penentu siapa yang bakal menjadi juara keseluruhan musim ini.

“Berbanding pasukan lain, saya tidak boleh mengharapkan bantuan rakan sepasukan untuk melancarkan strategi perlumbaan. Saya perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan kerana saya satu-satunya pelumba pasukan Idemitsu Honda Asia Dream Racing with SHOWA yang beraksi dalam kelas ASB1000 ini. Saya harus berusaha gigih dan lebih pantas daripada pencabar lain,” ujarnya.

- Advertisement -