ARRC – Tengku Amirul ganti Adib

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/09/arrc-tengku-amirul-ganti-adib">
Twitter
Pinterest

 

“Saya agak sedih kerana tidak dapat beraksi pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang minggu ini. Impian saya adalah untuk menghadiahkan sesuatu kepada para penyokong saya.” Demikian luahan pelumba RCB Accentwire Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley yang terpaksa melupakan aksi pada ARRC minggu ini gara-gara masih belum pulih daripada kecederaan.

Dalam perbualan ringkas dengan pelumba asal Selangor itu hari ini, Adib menjelaskan bahawa dia agak kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Adib mengalami patah kaki ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan minggu lalu dan dia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Buat masa ini, semuanya berjalan lancar dan saya sedang menjalani proses pemulihan yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan. Saya hanya mampu berdoa agar rakan-rakan sepasukan melakukan yang terbaik di Sepang nanti,” jelas Adib yang pernah muncul naib juara pada Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 di Suzuka sebelum ini.

Adib merupakan antara tonggak pasukan YY Pang yang turut cemerlang pada kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas.

Kekosongan yang ditinggalkan Adib itu akan memberi ruang kepada Tengku Amirul Haffirudin untuk beraksi pada Pusingan 6 ARRC di Sepang pada 20-22 September ini.

Saingan kali ini sudah pastinya menjadi medan buat pelumba Malaysia untuk menyekat penguasaan para pencabar mereka dari negara jiran.

Mereka kini sudah tidak mahu saingan pada Pusingan 1 kelas UB150 berulang pada Pusingan 6 di Sepang nanti. Pada saingan Pusingan 1 dua pelumba Filipina yang menggalas cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Philippine, McKinley Kyle Paz dan Fernando Masato masing-masingnya menjuarai Perlumbaan 1 dan 2.

Kemenangan yang diraih dua pelumba Filipina itu ternyata memberi kesan yang mendalam terhadap barisan pelumba Malaysia yang gagal mempergunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di gelanggang sendiri.

Taruhan terbaik adalah pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Mohd Akid Aziz yang dilihat mampu menyekat penguasaan dua pelumba Filipina itu.

Akid sudah bergelar juara sebanyak dua kali iaitu di Buriram dan Zhuhai dan dia kini ketinggalan 4 mata di belakang Kyle Paz yang mendahului carta kesleuruhan dengan 95 mata.

Pelumba lain yang diramal mampu melakar kejutan adalah Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team) dan juga adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang akan beraksi atas tiket wildcard.

Dengan sokongan daripada peminat tempatan, ia diharap mampu melonjakkan semangat barisan pelumba negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas ARRC.

 

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA

Underbone 150 1. McKinley Kyle Paz (PHI) (Yamaha) 95 mata

2. Mohd Akid Aziz (MAS) (Yamaha) 91

3. Ahmad Fazli Sham (MAS) (Yamaha) 81

4. Fernando Masato (PHI) (Yamaha) 72

5. Wawan Wello (INA) (Honda) 71

6. Aldi Satya Mahendra (INA) (Yamaha) 65

7. Mohd Haziq Mohd Fairues (MAS) (Yamaha) 60

8. Mohd Affendi Rosli (MAS) (Yamaha) 58

9. Peerapong Luiboonpeng (THA) (Yamaha) 58

10. Wahyu Aji Trilaksana (INA) (Yamaha) 54

 

KEDUDUKAN PASUKAN

1. UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 113 mata

2. ONEXOX TKKR SAG Team 109

3. UMA Racing Yamaha Philippine Team 107

4. Yamaha Racing Indonesia 88

5. SND Factory Racing Rapido 83

Please follow and like us:
0