ARYA Premier Sdn Bhd, syarikat Malaysia yang terbabit dalam usahasama acara tempatan dan antarabangsa serta pembangunan dan usahasama perniagaan strategik, secara rasmi menyertai acara jelajah berbasikal wanita antarabangsa Le Tour de Femina 2019 (LTdF) sebagai Penaja Utama.

Syarikat berkenaan, yang mempunyai gabungan dengan syarikat multinasional Singapura dan Indonesia dengan kepentingan dalam pelbagai rangkaian perniagaan antarabangsa, diumumkan sebagai Penaja Utama acara sulung itu dalam satu majlis menandatangani perjanjian di sini hari ini.

Sebagai penaja acara, Arya Premier mendapat hak eksklusif sebagai penaja Jersi merah jambu bagi Juara Keseluruhan dan jersi putih bagi Juara Asia.

LTdF 2019 dijadualkan dari 16 hingga 21 November dan merupakan anjuran Ciclista Sports Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Ia bertujuan memperkasa wanita dalam sukan selain menjadikan Malaysia antara hab sukan berbasikal wanita ulung di rantau ini.

Arya Premier, yang berpayung di bawah syarikat utama Arya Group of Companies Malaysia, menandatangani perjanjian tajaan bernilai 2.2 juta dolar Amerika bagi perlumbaan yang akan menyaksikan pernyertaan pasukan professional dan antarabangsa dari empat benua iaitu Afrika, Amerika, Asia dan Eropah.

LTdF 2019 merupakan acara antarabangsa utama yang pertama ditaja Arya Premier Sdn Bhd, kata Naib Pengerusi (Operasi), Nor Azhar Hamzah pada majlis berkenaan.

“Kami amat teruja dan berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga Le Tour de Femina 2019 buat pertama kali. Pembabitan kami dalam LTdF menepati falsafah perniagaan kami untuk membantu usaha memperkasa wanita dalam bidang sukan terutamanya sukan berbasikal di peringkat serantau dan global,” kata beliau.

“Kami yakin LTdF menyediakan platform terbaik bukan sahaja untuk syarikat mengembangkan lagi jenama dan usaha komersil, tetapi lebih daripada itu, memberikan kami peluang terbabit dalam usaha menjana manfaat sosial, ekonomi bagi komuniti. Selain itu, acara sebegini mampu terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai penganjur dan negara sukan terbaik,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, Shahirudeen Seeni mengalu-alukan penyertaan dan komitmen Arya Premier Sdn Bhd dalam LTdF 2019 dan menyatakan keyakinan terhadap manfaat bersama dan menyeluruh yang terhasil daripada usahasama berkenaan.

 “Kami berharap dapat terus memperkukuh usahasama bersama Arya Premier Sdn Bhd. Sebagai acara jelajah berbasikal antarabangsa pertama di Malaysia, saya yakin LTdF akan terus berkembang ke peringkat lebih tinggi dan menjadi landasan terbaik bagi syarikat dan penaja mengembang jenama dan usaha komersil mereka,” kata Shahirudeen.

 

MENGENAI LE TOUR de FEMINA 2019

Le Tour de Femina 2019 merupakan acara jelajah berbasikal wanita yang pertama kali dianjurkan di Malaysia, di bawah kalendar acara Wanita Elit UCI. Idea penganjuran dicetus oleh Ciclista Sports Sdn Bhd dengan tujuan menggalak dan menambah jumlah penyertaan wanita dalam perlumbaan antarabangsa berstatus tinggi, selaras dengan Agenda 22 UCI. Acara sulung LTdF 2019 akan berlangsung dari 16 hingga 21 November 2019 dan diperakui Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Perlumbaan itu dijangka menarik penyertaan pasukan-pasukan dari Afrika, Eropah, Amerika and Asia.

 

MENGENAI ARYA PREMIER SDN BHD

Arya Premier Sdn Bhd merupakan syarikat antarabangsa berpangkalan di Malaysia yang terbabit dalam gabungan kerjasama acara tempatan dan antarabangsa, gabungan perniagaan, pembangunan dan perkongsian perniagaan strategik tempatan dan antarabangsa. Syarikat berkenaan mempunyai kepentingan perniagaan dan gabungan dengan syarikat multinasional di Singapura dan Indonesia.

 

MENGENAI CICLISTA SPORTS SDN BHD

Ciclista Sports Sdn Bhd merupakan syarikat acara sukan tempatan yang khusus dalam acara berbasikal dan juga pakaian sukan sejak 2010. Syarikat terbabit sebagai jururunding dan penganjur bagi acara sukan yang diiktiraf UCI di Asia. Syarikat menerima perakuan “Penganjuran Bertaraf Cemerlang” oleh UCI hasil dari penganjuran acara berbasikal ulung negara Le Tour de Langkawi dari tahun 2016 hingga 2018. Pembabitan Ciclista dalam acara sukan lain acara tahunan Janamanjung Fellowship Ride dan Pulau Indah 180. Ciclista Sports merupakan pengurus acara bagi Le Tour de Langkawi dari 2016-2018.

- Advertisement -