Dollah percaya ECP formula terbaik bendung isu kewangan pasukan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/09/dollah-percaya-ecp-formula-terbaik-bendung-isu-kewangan-pasukan">
Twitter
Pinterest

Foto – Perak The Bos Gaurus

 

 

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh percaya masalah kewangan yang melibatkan gaji pemain dan jurulatih semua pasukan akan berkurangan bermula musim depan dengan melihat Program Kawalan Ekonomi (ECP) oleh Malaysian Football League, (MFL) sebagai langkah yang baik bagi membendung hutang pasukan.

Program ECP ini bertujuan mengawal peruntukan setiap pasukan yang bertanding bagi memastikan semua pengurusan tidak berbelanja berlebihan tanpa melihat kemampuan sendiri sekali gus yang selama ini menjadi antara punca utama masalah hutang yang membelenggu pasukan.

Dollah melihat inisitif daripada MFL itu berguna untuk jangka masa panjang tatkala sebelum ini masih banyak lagi pasukan yang gemar mengeluarkan belanja keterlaluan tanpa memikirkan kesan negatif yang boleh menjejaskan ramai pihak pada masa akan datang.

“Bagi saya, benda ini tidak memeningkan kepala pun kerana pengurusan sendiri daripada awal lagi kena sedar untuk berbelanja berpandukan kemampuan masing-masing.

“Kalau kita sudah tak mampu, tapi nak juga ikat pemain-pemain yang bergaji terlalu tinggi sampai satu masa kita dah tak mampu nak bayar, dan akhirnya akan menyusahkan diri sendiri.

“Bukankah kita sudah cipta satu benda yang negatif apabila dipalit tengan isu tidak bayar gaji dan sebagainya sampai berhutang yang terlalu banyak?

“Jadi, inisiatif MFL dengan perancangan bagaimana ingin kawal masalah kewangan yang sering dihadapi setiap pasukan memang bagus dan kita sendiri sebagai pasukan harus profesional untuk turuti program (ECP) ini sambil melihat kemampuan masing-masing”, jelasnya.

Dalam masa yang sama, pemain muda Pahang Faisal Abdul Halim turut menyambut baik program ECP yang akan dilaksanakan bermula musim depan kerana sudah lama memahami nasib pemain-pemain lain yang pernah berdepan isu gaji.

Justeru, dia melihat langkah yang dibawa oleh MFL ini tepat pada masanya dengan mengharapkan masalah kelewatan bayar gaji semain tidak lagi akan berlaku selain pengurusan yang lebih teratur daripada aspek kewangan dapat dilihat pada tahun 2020.

“Saya memang menyambut baik apa yang dibuat oleh MFL ketika ini untuk membuka mata pasukan-pasukan lain agar tidak lagi berbelanja keterlaluan sehingga menyusahkan orang lain.

“Sebagai pemain, siapa pun tidak mahu gaji dibayar lewat dan berharap masalah seperti itu dapat dibendung sebaik mungkin kerana bukan mudah untuk mengharapkan penerimaan daripada pasukan lain terhadap program ECP tersebut,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, (PBNP) menerima kunjungan daripada MFL yang diwakili oleh Ketua Unit Perancangan dan Strategi, Reuben Chong dan Rakan Kongsi dalam Perkhidmatan Perlindungan Risiko PricewaterhouseCoopers (PwC) iaitu Ting Choo Wai dalam jelajah sesi taklimat mengenai program ECP berkenaan pada minggu lalu.

Mereka diberi penerangan secara terperinci berhubung sistem perlaksanaannya bagi memastikan setiap pasukan memahami konsep sebenar program tersebut.

Please follow and like us:
0