Ketua jurulatih skuad harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengharapkan pemain pemain untuk mengelak daripada melakukan kesilapan besar sekaligus memberi ruang kepada lawan, Indonesia pada aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno pada Khamis.

Senario bolos awal seringkali terjadi kepada skuad negara samada aksi persahabatan antarabangsa atau kejohanan besar yang tampak meresahkan Cheng Hoe.

Malah, bekas pengendali skuad Kedah ini seringkali menyifatkan pemain pemain negara ‘lambat panas’ selain mudah hilang fokus khususnya dipenghujung permainan sekaligus kehilangan mata.

Matlamat yang ditetapkan oleh Cheng Hoe adalah kembali ke tanah air dengan tiga mata penting sebagai suntikan moral sebelum aksi kedua menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September.

Indonesia juga memanggil pemain yang beraksi di Liga Malaysia, Saddil Ramdani yang beraksi untuk pasukan Pahang bagi memperkuatkan barisan skuad kendalian Simon McMenemy.

Malah, pemain pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia seperti, Andik Vermansyah, Evan Dimas, dan Ferdinand Sinaga antara yang turut dipanggil McMenemy.

Ia mungkin memberi sedikit sebanyak maklumat yang diperlukan oleh kejurulatihan dan pemain Indonesia, namun Cheng Hoe terus mengingatkan pemain pemain untuk terus fokus khususnya di awal saingan selain mempersiapkan diri sebaik mungkin dan yakin serta mengukuhkan kerjasama diantara pemain.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berlepas ke Jakarta pagi Selasa sebelum turun ke stadium keramat Sang Garuda bagi menghadapi aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kumpulan G.

- Advertisement -