Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Malaysia 2019 membabitkan PKNP FC dan PJ CITY FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada Selasa, terpaksa ditunda selepas menerima laporan kesihatan mengaitkan beberapa pemain PJ City dijangkiti virus Influenza B.

Demi pelaksanaan tanggungjawab sebagai sekretariat liga untuk menjaga kepentingan dan kebajikan pihak pasukan lawan, pemain, pegawai serta penyokong, pihak MFL telah mengambil langkah dan membuat keputusan untuk menunda perlawanan antara PKNP dengan PJ City ke tarikh 20 September ini bagi memastikan penyakit ini tidak merebak.

MFL sentiasa memandang serius isu ini dan percaya tempoh masa yang diberikan itu akan dapat membantu pasukan PJ City melakukan persediaan untuk berdepan PKNP pada tarikh baharu berkenaan.

Sebagai rekod, keputusan menunda perlawanan PKNP dan PJ City bukanlah satu perkara baharu di mana MFL sebelum ini telah menangguh dua perlawanan Liga Super yang membabitkan pasukan berdepan masalah pemain dijangkiti penyakit Influenza B pada musim ini.

Kes pertama berlaku melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu PJ City dalam aksi Liga Super pada 10 Julai lalu dan perlawanan itu diadakan semula pada 16 Julai lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di mana beberapa pemain JDT didapati positif terkena jangkitan Influenza B.

Disusuli kes kedua yang membabitkan pasukan berdepan masalah pemain dijangkiti virus Influenza adalah perlawanan melibatkan PKNS dan Melaka yang dijadualkan bertemu di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 12 Julai lalu terpaksa ditunda ke tarikh 16 Julai lalu selepas MFL menerima laporan pemain-pemain PKNS didapati positif dijangkiti virus Influenza B.

Bagaimanapun, bagi pasukan yang ditimpa masalah kehilangan pemain seperti kes dijangkiti virus Influenza, mereka masih dibenarkan menggunakan pemain muda yang didaftarkan atau bermain dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia seperti tertakluk dalam peraturan pertandingan Liga Malaysia.

Berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia itu membabitkan pemain berstatus Piala Presiden dan Piala Belia, tiada had jumlah pemain yang boleh didaftarkan untuk bermain dalam satu-satu perlawanan di mana pemain tersebut haruslah mewakili pasukan yang sama.

Selain daripada itu, pemain berstatus Piala Presiden dan Piala Belia ini juga tidak memiliki tempoh rehat (Cooling Period) 24 jam untuk menyertai pasukan utama di mana pasukan terbabit bertanggungjawab sepenuhnya dan berhak untuk menyenaraikan pemain dari pertandingan tersebut untuk diserap ke pasukan utama seperti Liga Super dan Liga Premier atau sebaliknya.

Peraturan ini boleh dipraktikkan oleh pasukan-pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi merencanakan penggunaan pemain-pemain muda mereka di mana secara asasnya setiap pasukan memiliki 90 pemain termasuk pemain dari Piala Belia dan ia turut boleh digunakan oleh semua pasukan bagi menangani isu seperti ini atau perkara-perkara lain.

- Advertisement -