STL 2019 lebih mencabar

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/09/stl-2019-lebih-mencabar">
Twitter
Pinterest

 

 

#Lapan pemain import Thailand hangatkan STL 2019

 

 

Gegaran aksi Sepak Takraw League 2019 kini kembali memukau peminat apabila akan menjelajah ke beberapa negeri dan gelanggang pilihan pada edisi keenam tahun ini.

Kali ini STL memberi peluang buat seluruh peminat Malaysia bukan hanya peminat di utara, malah turut ke pantai timur dan selatan tanahair untuk menyokong dan menyaksikan aksi akrobatik dan libasan maut sukan ini dengan lebih dekat.

Jika beberapa edisi yang lalu, tumpuan peminat terarah kepada venue sekitar Lembah Klang tapi kini STL 2019 akan mula menjelajah ke Pulau Pinang (Spice Arena) bermula pada minggu ke empat STL diikuti Kelantan (Dewan MPKB – BRI, Kota Bharu), Perak (Stadium Indera Mulia, Ipoh) dan Johor Bharu (Iskandar Malaysia Studio).

Sementara itu, Stadium MABA, Kuala Lumpur menjadi medan pertarungan dan pembuka tirai bagi minggu pertama hingga ketiga STL.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, STL 2019 juga menjanjikan kelainan apabila lapan pemain import dari Thailand akan menyemarakkan saingan berbanding hanya dua pemain import pada edisi lalu.

Ini adalah salah satu inisiatif PSM dalam menambah kualiti dan tahap kompetitif saingan STL musim ini.

“Bukan sahaja dapat menyaksikan libasan dan gulungan daripada pemain muda yang meningkat naik mahupun himpunan skuad kebangsaan, tetapi dengan lebih ramai pemain import, saya mengharapkan persaingan lebih mencabar sekaligus melahirkan pemain berkaliber dan berbakat.

“Ini juga platform terbaik untuk mempersiapkan pemain kita untuk beraksi di Sukan SEA, Filipina nanti. Saya mengharapkan sukan ini menjadi penyeri kepada kilauan emas yang akan dikumpul negara di Manila nanti,” katanya.

Tambahnya, STL selama sembilan minggu ini pasti cukup mendebarkan untuk melihat pasukan mana yang mampu mengugat dominasi Penang Black Panthers di STL Premier, juara yang akan mengungguli Divisyen Satu serta STL Champions Cup.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay pula berkata, Astro sentiasa berusaha menyusun strategi terbaik bagi menaikkan lagi nilai komersial dan imej STL khususnya sepak takraw di Malaysia ke peringkat antarabangsa.

 

 

“Selepas lima musim, revolusi sepak takraw melalui STL cukup menakjubkan apabila tahun lalu STL mencatat jumlah tertinggi 5.6 juta penonton. Sementara, rekod pendigitalan mencatat 19 juta tontonan di laman sosial Astro Arena, Astro Go dan laman web Stadium Astro. Kerjasama Astro dan PSM ternyata berjaya membawa impak segera kepada landskap sepak takraw negara yang beberapa tahun dulu dilihat agak suram dan sepi.

“Keghairahan dan sokongan terhadap STL membuatkan kami untuk menjelajah dan menukar venue yang lebih besar bagi memberi keselesaan dan kepuasan tontonan. Peminat di Singapura juga berpeluang untuk turun menyaksikan STL dimana kami akan ke Johor Bharu iaitu di Iskandar Malaysia Studios untuk saingan STL Champions Cup.

“Selain lebih ramai pemain import, kami bakal menjemput empat pasukan terbaik dari negara serantau untuk berentap bersama empat pasukan terbaik dalam liga ini di STL Champion Cup nanti. Ini pasti menjadi babak menarik yang dinantikan peminat. Sementara itu, bayaran tiket akan dikenakan kepada penonton dengan kadar bayaran yang rendah,” katanya.

Lee turut mengharapkan sokongan daripada semua pihak bukan hanya dari sektor awam dan penglibatan sektor korporat malah dari semua pihak termasuk peminat setia sukan sepak takraw dalam memberi sumbangan untuk menaikkan lagi martabat sukan ini.

“Kami juga berterima kasih kepada penaja-penaja baru STL iaitu Li Ning sebagai Penaja Pakaian Rasmi STL. Semua jerse STL musim ini boleh didapati di setiap cawangan Li Ning dan di setiap lokasi STL nanti. Sementara itu syarikat pengeluar telefon selular NOKIA pula menaja produk terkini keluaran mereka sebagai hadiah kepada pemenang. Pihak hotel MROOF Ipoh dan JAZZ Pulau Pinang pula turut menaja penginapan serta kerjasama kerajaan negeri yang terlibat membawa STL menjelajah tahun ini”, katanya.

Bagi menyemarakkan lagi kehangatan STL 2019, Astro juga menjalin kerjasama bersama Sinar Harian sebagai Media Cetak Rasmi sementara Zayan FM sebagai Radio Rasmi STL 2019.

Aplikasi hiburan dan gaya hidup baharu SYOK pula sebagai Siaran Kandungan Rasmi STL 2019. STL 2019 merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup – sebanyak 10 pasukan akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan STL Divisyen Satu manakala STL Champions Cup menghimpunkan empat pasukan terbaik dari kedua-dua divisyen dan empat peryertaan pasukan jemputan dari luar negara.

Sebagai rekod, pada tahun lalu, Penang Black Panthers muncul juara STL Divisyen Premier buat musim kedua berturut-turut setelah mengetepikan tentangan sengit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kemudiannya mempertahankan trofi STL Champions Cup, manakala saingan STL Divisyen Satu pula menjadi milik Negeri Sembilan Antlers yang akan beraksi di Disyen Premier bersama Sabah Mountaineers sementara dua pasukan Selangor Pistons dan Melaka Titans jatuh ke divisyen satu.

 

Please follow and like us:
0