Edisi pertama acara berbasikal antarabangsa Tour of Peninsular 2019, menerima penajaan pertamanya, dari Kerajaan Negeri Terengganu melalui kempen pelancongan negeri Visit Beautiful Terengganu.

Kerajaan Negeri Terengganu merupakan negeri yang tidak asing lagi dalam sukan berbasikal, bukan sahaja dengan pasukan tajaan kerajaan negeri itu Terengganu Inc. TSG, kini menduduki tangga pertama UCI Asia Tour, tetapi juga dalam menghasilkan nama-nama besar dalam sukan berbasikal seperti Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa, Anuar Manan, Adiq Husainie Othman, Mohd Harif Saleh dan ramai lagi.

Ketika sidang akhbar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, “mock cheque” simbolik penajaan Kerajaan Negeri Terengganu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Terengganu, Tuan Wan Sukairi bin Wan Abdullah, dan NGO kepada Pengerusi Eksekutif Motoshoot Event Sdn Bhd, Dato’ Muhd. Opandi Che Wook.

“Kerajaan negeri sememangnya mengalu-alukan kehadiran perlumbaan bertaraf antarabangsa seperti ini, yang bukan sahaja menyediakan ruang promosi dan penjenamaan yang cukup besar kepada sektor sukan pelancongan negeri, tetapi juga menyediakan ruang bagi rakyat negeri Negeri Terengganu menyaksikan pasukan dan pelumba-pelumba negeri bertanding dalam perlumbaan yang cukup besar di laman mereka sendiri” ujar Wan Sukhari.

Beliau juga menambah “Perlumbaan Tour of Peninsular ini juga akan membawa jenama Visit Beautiful Terengganu ke serata dunia melalui siaran “live streaming” yang jelas lebih berkesan dari siaran TV konvensional dan juga kepada pelancongan domestik kerana perlumbaan ini juga akan dibawa ke negeri-negeri lain pada peringkat seterusnya.

“Masyarakat antarabangsa juga berpeluang melihat dengan lebih dekat keindahan jambatan angkat atau Drawbridge Terengganu melalui beberapa acara dan perlumbaan yang melibatkan penggunaan jambatan itu sendiri”.

Muhd Opandi Che Wook berterima kasih dengan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu dalam membantu melancarkan penganjuran buat kali pertama acara Tour Peninsular 2019.

“Penajaan ini amat besar maknanya untuk kami. Kerajaan negeri bukan sahaja mengeluarkan perbelanjaan kewangan yang agak besar, tetapi menggerakkan hampir keseluruhan jentera pentadbiran negeri dalam membantu memastikan acara ini dilangsungkan dengan jayanya khususnya penganjuran acara pra-perlumbaan dan acara di Peringkat 1 dan 2”.

Tour of Peninsular 2019 akan berlangsung pada 15-19 Oktober 2019 dengan penganjuran bertaraf UCI2.1 melibatkan  penyertaan 20 pasukan-pasukan professional UCI dan kebangsaan dari serata dunia.

 

LALUAN TOUR OF PENINSULAR 2019

PERINGKAT 1 : Selasa, 15 Okt 2019 : Dungun – Kuala Terengganu (196.0 km)

PERINGKAT 2 : Rabu, 16 Okt 2019 : Kuala Terengganu – Kota Bharu (197.8 km)

PERINGKAT 3 : Khamis, 17 Okt 2019 : Pasir Mas – Gerik (200.0 km)

PERINGKAT 4 : Jumaat, 18 Okt 2019 : Ipoh – Cameron Highlands (110.5 km)

PERINGKAT 5 : Sabtu, 19 Okt 2019 : Tapah – Setiawangsa (146.4 km)

 

 

 

 

 

- Advertisement -