‘Buang yang keruh, ambil yang jernih’ – Nokman

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/10/buang-yang-keruh-ambil-yang-jernih-nokman">
Twitter
Pinterest

 

 

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berharap keputusan Malaysian Football League (MFL) menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) dapat menjernihkan semula hubungan dan kembali membuka ruang kerjasama pada masa akan datang.

Jelas Nokman, beliau melihat tindakan MFL itu adalah tepat bagi menjaga keharmonian yang pernah terjalin sebelum ini di antara mereka selain berharap tidak lagi memanjangkan isu tersebut menjadi lebih keruh.

Ini kerana Nokman menganggap badan pengendali Liga Malaysia dan syarikat telekomunikasi gergasi itu mempunyai pengaruh cukup kuat sekali gus mampu membawa kualiti bola sepak tempatan ini ke tahap lebih baik.

Justeru, Nokman tidak terkejut seandainya MFL dan TM kembali mengikat kerjasama sepertimana yang telah terjalin sejak Januari tahun lalu demi kebaikan Liga Malaysia pada musim depan.

“Saya amat menyokong tindakan yang telah dilakukan oleh MFL kerana itu menunjukkan kedua-dua pihak ini profesional dan enggan lagi menoleh ke belakang.

“Tiada lagi persengketaan berterusan antara MFL dan TM di mana selepas ini saya harap mereka dapat berbincang semula untuk kembali mengikat kerjasama bagi membantu MFL dengan harapan ia dapat menguntungkan kedua-dua pihak pada masa akan datang.

“Kami mewakili pasukan yang bertanding sudah pasti antara yang menyokong seandainya MFL dan TM dapat bekerjasama semula kerana saya percaya sesuatu yang lebih positif akan hadir jika kedua-dua pihak bersatu kembali pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman turut senada dengan Nokman dengan berkata, beliau ingin melihat MFL dan TM dapat mengintai formula terbaik bagi sama-sama berusaha meningkatkan kualiti Liga Malaysia pada musim depan.

Sudah pasti, kemelut yang berlaku melibatkan kedua-dua pihak ini pada Mac lalu memberi sedikit kesan kepada pasukan yang bertanding dan mengharapkan sinar baharu akan menghiasi perjalanan liga tempatan pada musim depan.

“Bagi saya, kita tidak perlu lagi ingat persengketaan yang pernah berlaku sebelum ini dan biarlah apa yang terjadi pada musim ini memberi semangat baharu untuk semua pihak meneruskan usaha terbaik membantu perjalanan Liga Malaysia.

“Kita tutup musim 2019 dan seterusnya membuka lembaran baharu pada tahun 2020 dengan mengharapkan sesuatu yang positif akan berlaku melibatkan MFL dan TM, dan paling panting adalah sebarang keputusan haruslah demi kebaikan semua pasukan yang bertanding,” katanya.

MFL dalam satu kenyataan rasmi Isnin lalu memaklumkan telah menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu itu menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Sebagai rekod, TM telah bersama dengan MFL pada 2015 ketika itu dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan menjadi penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 2000.

Please follow and like us:
0