Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang semakin gagah mengharungi cabaran ketika saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas musim 2019 semakin hampir untuk melabuhkan tirainya.

Kesungguhan barisan pelumbanya untuk berada dalam kelompok lima teratas begitu terserlah dalam beberapa pusingan lalu termasuk pada saingan Pusingan 7 yang membuka tirainya di Litar Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis.

Buktinya sangat jelas apabila Md Azhar Abd Jalil mencatat nama selaku pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di litar sejauh 0.949 kilometer (km) itu dengan masa 40.759 saat (s).

Walaupun catatan yang dilakukan oleh pelumba asal Selangor itu direkodkan sebagai masa terpantas sepusingan pada sesi kelayakan di litar tersebut musim ini, namun masih gagal untuk mengatasi rekod lama (40.442s) yang dilakukan oleh Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) musim lalu.

Begitupun, ia tetap memberi kepuasan kepada Azhar yang bakal memulakan perlumbaan sebenar dalam kelompok hadapan.

Setakat ini, Azhar pernah muncul juara CP150 pada aksi Pusingan 4 di Teluk Intan sebelum ini selain menduduki tempat ketiga pada kempen Pusingan 6 di Teluk Intan dua minggu lalu.

Misinya kali ini adalah untuk menawan Kangar bagi mengulangi kecemerlangannya di Pontian sebelum ini. Tempat kedua terpantas sesi kelayakan tersebut diraih Md Haziq Md Fairues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 40.846s manakala Nazirul Izzat Md Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team) yang melakukan catatan masa 40.902s menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, sesi kelayakan kelas CP115 Kumpulan A diungguli pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli dengan catatan masa 42.936s manakala kelayakan Kumpulan B pula dikuasai Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan masa 43.248s sepusingan.

Berdasarkan catatan masa yang dilakukan oleh Syafiq pada sesi kelayakan hari ini, dia bakal tampil sebagai pelumba pilihan, namun pelumba asal Perak itu perlu mengekalkan rentak konsisten jika mahu menamatkan perlumbaan esok dengan penyudah podium.

 

INFO Keputusan sesi kelayakan CP150 (Lima teratas)

Md Azhar Abd Jalil (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing 40.759s

Md Haziq Md Fairues (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.846s

Nazirul Izzat Md Bahauddin (MEL) ONEXOX TKKR SAG Team – 40.902s

Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.923s

Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.969s

 

Keputusan sesi kelayakan CP115 A (Lima teratas)

Md Syafiq Rosli (PRK) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 42.936s

Shahrol Syazras Shahrol Yuzy (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 43.187s

Md Khairi Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 43.353s

Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX SAG Team – 43.421s

Abdullah Qayyum A Razak (SEL) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 43.663s

 

Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 43.428s

Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 43.401s

Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 43.624s

Md Syafieq Aiman Md Fauzi (JOH) ONEXOX SAG Team – 43.805s

Md Firdaus Md Hamdan (SEL) ELF Koyoko Honda KC Racing Team – 43.818s

- Advertisement -