Pertahanan Kelantan United FC, Mohd Daudsu Jamaludin bertekad mahu meneruskan momentum kemenangan apabila turun berdepan Glory United FC, Ahad ini bagi mengesahkan kejuaraan Liga M3 2019.

Dengan berbaki dua perlawanan, Kelantan United kini mengumpul 62 mata selepas 24 perlawanan manakala pencabar terdekat Kuching FA yang kurang beraksi satu perlawanan berada sembilan mata di belakang pasukan pendahulu itu.

Anak buah Zahasmi Ismail itu hanya perlu mencari satu lagi mata bagi menjulang kejuaraan sekali gus meraih slot ke Liga Premier musim depan.

Bagaimanapun Daudsu, 34, tidak mahu mengambil mudah saingan yang bakal diberikan Glory United dan tetap mahu mencari kemenangan mutlak bagi terus menutup cabaran Kuching FA.

“Kalau ikutkan pihak pengurusan, mereka memang nak kami menang walaupun kita perlukan satu mata sahaja lagi untuk bergelar juara.

“Memang di atas kertas kita nampak memang boleh memenangi liga tetapi Kuching FA dijangka terus bagi saingan dan sebagai jalan selamat, kami kena tiga mata menentang dengan Glory United bagi menjamin kedudukan kami.

“Kita akan mengikut apa yang dirancang oleh jurulatih kerana dengan Glory United, mungkin jurulatih ada strategi tersendiri dan perlawanan terakhir berdepan Armed Forces FC, dia pasti akan rangka strategi lain, ” ujarnya.

Kelantan United pasti akan menempuhi jalan sukar untuk membawa pulang kemenangan dari Stadium Lada, Langkawi kerana Glory United berada di prestasi terbaik apabila belum tewas dalam empat perlawanan terakhir dengan mencatat tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Malah, pungutan 10 mata berharga itu meletakkan Glory United kini berjaya keluar daripada zon penyingkiran untuk berada di tangga ke-10 carta Liga M3.

Sementara itu, Daudsu berbangga dengan semangat juang rakan sepasukan yang menjadi faktor utama kedudukan Kelantan United terus kekal menerajui Liga M3.

Dia juga percaya sekiranya Kelantan United berjaya merangkul kejuaraan, ia sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan para penyokong pasukan Kelantan selepas skuad The Red Warriors menamatkan saingan Liga Premier musim ini ditangga ke-10.

Kelantan sebelum ini adalah salah satu pasukan gergasi bolasepak tempatan apabila meraih gelaran Treble selepas muncul juara Piala FA , Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun 2012 di mana Daudsu sendiri antara tonggak utama pasukan berkenaan.

“Saya berbangga dengan kawan-kawan yang tunjukkan sikap tidak mudah mengalah dan itu menjadi salah satu punca mengapa kita berada di atas pada masa sekarang.

“Sekurang-kurangnya kehadiran Kelantan United sekarang ini dapatlah sedikit mengubat duka penyokong The Red Warriors yang mungkin dahagakan kejuaraan sejak sekian lama,” katanya.

- Advertisement -