Kenyataan Rasmi FAS – Penggabungan FAS – PKNS

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/10/kenyataan-rasmi-fas-penggabungan-fas-pkns">
Twitter
Pinterest

Terdapat banyak khabar angin dan andaian tidak tepat mengenai cadangan penggabungan FA Selangor dan PKNS FC baru-baru ini.

FA Selangor tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebelum ini kerana ingin memastikan proses penggabungan ini dimuktamadkan sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Walaubagaimanapun, kerana terdapat terlalu banyak kenyataan tidak tepat tersebar akibat kekurangan maklumat mengenai hal ini, FA Selangor bertanggungjawab untuk menjelaskan situasi ini dengan fakta yang sebenar.

Kenyataan bahawa FAS ingin menjalankan penggabungan semata-mata untuk mendapat dana yang lebih besar adalah kurang tepat.

Pihak FAS percaya bahawa penggabungan ini bukan sahaja memberi tanggungjawab untuk FAS dalam mencapai kejayaan di peringkat pasukan utama, tetapi juga untuk membina sebuah asas yang kukuh bagi pembangunan bakat-bakat muda untuk satu hari menjadi jaguh-jaguh dalam arena bola sepak dunia.

Penggabungan ini bukan sahaja demi FAS tetapi untuk transformasi industri bola sepak Selangor bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Niat untuk menyatukan kelab bola sepak di Selangor, terutamanya melibatkan FAS dan PKNS FC telah lama wujud sejak beberapa Menteri Besar yang lepas.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan perkara ini gagal direalisasikan sehingga kini.

Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lalu, Tuanku Presiden DYTM Tengku Amir Shah bersama dengan Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amiruddin telah berbincang secara mendalam mengenai perkara ini untuk mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan perkara ini.

YAB Menteri Besar telah beberapa kali menyatakan hasrat beliau dengan jelas kepada pihak media bahawa PKNS akan dijadikan sebuah ‘pasukan simpanan’.

Terdapat beberapa faktor yang menjelaskan mengapa penggabungan ini langkah yang terbaik untuk masa depan bola sepak Selangor, biarpun terpaksa melakukan beberapa pengorbanan; 

  • Tanggungjawab Kewangan. Dianggarkan sebanyak RM44 juta ringgit telah dibelanjakan oleh tiga kelab di Selangor untuk musim 2019 (FA Selangor, PKNS FC, Selangor United). 
  • Jumlah ini adalah lebih tinggi dari mana-mana pasukan di kancah Liga Super Malaysia. 
  • Bagaimanapun, prestasi ketiga-tiga pasukan ini tid memberangsangkan. Hanya pasukan FA Selangor berjaya mencapai kedudukan tempat tiga teratas dalam Liga Super dan kini bermain di peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia, dalam tahun pertama dibawah kepimpinan Tuanku Presiden. 
  • Daripada membahagikan dana kepada tiga pasukan, ia adalah langkah yang lebih bertanggungjawab dan menjimatkan dari segi kewangan jika pihak kerajaan negeri menggabungkannya dan memberikan dana tersebut kepada satu pasukan sahaja. 
  • Dianggarkan sebanyak RM16 juta dapat dijimatkan jika penggabungan ini dilaksanakan. Jika separuh dari jumlah penjimatan ini adalah dari dana kerajaan (dan selebihnya adalah dari penajaan korporat), sebanyak RM8 juta akan berjaya dijimatkan dari kantung kewangan kerajaan negeri. Jumlah RM8 juta ini boleh disalurkan untuk membiayai pelbagai program pendidikan, kesihatan dan pembangunan lain yang mampu dinikmati oleh ribuan rakyat Selangor. 
  • Mengembalikan fokus setiap organisasi kepada tujuan asal. Dalam mengharungi waktu-waktu mencabar ini, ia amatlah mustahak bagi setiap organisasi termasuklah syarikat-syarikat kerajaan negeri untuk memberi penekanan kepada tujuan asal dan objektif penubuhan mereka. 
  • Demi memberikan impak yang lebih menyeluruh kepada rakyat Selangor, FA Selangor dan PKNS adalah dua entiti yang perlu mempergiatkan aktiviti yang selari dengan tujuan asal penubuhan mereka, serta menggunakan sumber kewangan yang terhad dengan sebaik mungkin. 
  • Peluang lebih tinggi untuk mendapatkan rakan penaja. Dengan penggabungan ini, pasukan bola sepak negeri Selangor bakal mempunyai peluang yang lebih baik untuk menambahkan rakan korporat dan penaja. 
  • Hasil penggabungan ini bakal menyaksikan jumlah penyokong yang lebih besar, pertambahan aset untuk diniaga dan diiklankan serta kumpulan sasaran penaja yang lebih meluas. 
  • Penggabungan ini juga akan mengurangkan perebutan mendapatkan penaja dan rakan niaga sesama sendiri. Seperti yang kita sedia maklum, kini semakin sukar untuk menarik pihak penaja bagi menaja sebuah kelab sukan, terutamanya di dalam sukan bola sepak. 
  • Pembangunan bola sepak yang berstruktur dan seragam. Pada masa kini, terdapat pelbagai program pembangunan bola sepak di Selangor yang dijalankan secara berasingan. Laluan bagi anak-anak muda untuk menjadi pemain bola sepak professional juga tidak jelas di kalangan masyarakat awam. Melalui penggabungan ini, segala usaha pembangunan ini boleh distruktur dengan lebih baik dan sistematik dan secara langsung membuka laluan yang lebih jelas untuk pembangunan anak-anak muda di Selangor. Aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak akar umbi yang telah dilaksanakan dengan baik oleh PKNS sebelum ini boleh diperkembangkan lagi dengan lebih meluas ke sembilan daerah di Selangor melalui kerjasama yang lebih erat bersama FA Selangor dan kerajaan negeri. 
  • Struktur pentadbiran yang lebih mantap, selari dengan hasrat FIFA/AFC/FAM. Penggabungan ini memberi peluang untuk menyusun semula struktur pentadbiran bagi menjadikannya lebih efektif dan professional, dengan mengambil contoh stuktur pentadbiran yang digunapakai di Jepun, Eropah serta Amerika. 
  • Melalui struktur pentadbiran yang profesional di bahagian korporat dan teknikal, ia akan meningkatkan peluang kejayaan pasukan di dalam dan di luar padang. 
  • Mengurangkan jurang antara pasukan Liga Super dan pasukan Presiden B21. Setelah beberapa bulan menganalisa data bola sepak tempatan, kami mendapati bahawa terdapat jurang yang besar di antara kedua-dua pasukan ini. Tidak ramai pemain Presiden B21 yang berupaya untuk bermain di tahap tertinggi bola sepak Malaysia dalam masa yang singkat. Kebanyakan pemain memilih untuk berputus asa dan tidak diberikan peluang oleh pasukan masing-masing setelah melebihi had umur pasukan Presiden B21.
  • Kewujudan pasukan simpanan di Liga Premier ini bakal mengurangkan jurang perbezaan di antara Liga Super dan Piala Presiden, di mana para pemain Presiden B21 akan mendapat lebih masa dan peluang untuk mempertingkatkan keupayaan masing-masing. Pihak FAS telah mempertimbangkan pelbagai alternative untuk mewujudkan pasukan simpanan termasuklah menubuhkan sebuah pasukan baharu sebagai pasukan simpanan. 
  • Namun peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak MFL menyebabkan pasukan simpanan tersebut perlu bermain di peringkat terbawah iaitu Liga M4. Walaupun tidak salah untuk bermula dari bawah, situasi ini akan melengahkan perancangan Selangor selama 2-3 tahun dan menjejaskan pembangunan pemain-pemain muda Selangor kerana beraksi dalam liga yang kurang kompetitif dari Piala Belia dan Piala Presiden. 
  • Usaha FAS untuk mengubah halatuju bola sepak Selangor bukan usaha jangka masa pendek, jesteru inisiatif mewujudkan pasukan simpanan ini diharapkan akan membantu mengembalikan kegemilangan bolasepak Selangor dalam masa akan datang.

Industri bola sepak banyak berubah dalam masa yang pendek. Dengan keadaan ekonomi dan kewangan yang semakin mencabar, kita perlu bergerak seiring dengan arus perubahan ini.

Sekitar 10 tahun yang lalu, Nokia dan Blackberry adalah jenama telefon bimbit yang terunggul.

Namun, mereka gagal menyesuaikan produknya seiiring dengan perubahan semasa dan kini hampir tidak wujud lagi. Bola sepak juga perlu berkembang mengikut peredaran masa jika tidak ingin menerima nasib yang sama.

FAS perlu berhati-hati dalam menguruskan kewangan dan memastikan perbelanjaan yang dibuat membuahkan hasil yang terbaik. Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar menyedari masalah ini dan mengambil langkah yang tepat bersama Tuanku Presiden untuk kemajuan bola sepak Selangor dan pada masa yang sama kepentingan rakyat Selangor. Ini adalah keputusan penting dan ia akan menghasilkan perubahan yang besar dalam sejarah bola sepak Selangor.

JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAS 2017-2021

Please follow and like us:
0