photo – www.sultanjohorcup.com.my

 

 

Juara bertahan, Great Britain merekodkan kemenangan kedua dalam saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 apabila menewaskan Jepun 2-1 di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Britain berjaya melunaskan dendam mereka selepas dimalukan dengan kekalahan 1-2 di tangan Jepun ketika pusingan awal edisi tahun lalu.

Gol kemenangan Britain dijaringkan Nicholas Park menerusi gol padang pada minit ke-47.

Terdahulu, Britain membuka tirai jaringan menerusi Loan Wall yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-13 tetapi Jepun bangkit menyamakan kedudukan hasil gol padang Kosei Kawabe minit ke-21.

“Ia perlawanan yang sengit. Saya beritahu kepada pemain yang mana dalam kejohanan ada masa mereka menang dengan permainan yang baik dan ada masa mereka akan berdepan kesukaran sebelum menang.

“Situasi hari ini menyaksikan mereka berdepan sedikit kesukaran tetapi apa yang paling penting kami berjaya meraih tiga mata dalam perlawanan ini.

“Di awal perlawanan prestasi pemain agak menurun sedikit tetapi sebaik babak kedua bersambung, pemain kembali bertenaga dan bermain dengan lebih baik,” kata jurulatih Britain, Jon Bleby yang menyaksikan anak buahnya menewaskan New Zealand 2-0 semalam.

Bagi Jepun, ini adalah kekalahan kedua buat pasukan itu selepas tewas kepada Australia 1-2 semalam.

Britain akan meneruskan misi mempertahankan kejuaraan dengan menentang Australia pada aksi ketiga Selasa ini manakala Jepun bertemu India.

 

- Advertisement -