photo – www.sultanjohorcup.com.my

 

 

Pertembungan membabitkan dua pasukan pilihan, Great Britain dengan Australia dalam aksi ketiga saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019, esok boleh dianggap sebagai buku bertemu ruas.

Jurulatih Britain, Jon Bleby, berkata perlawanan menentang Australia sentiasa mengujakan yang mana ia akan memberi cabaran berbeza berbanding pasukan lain.

“Kami mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan Australia sebelum ini dan ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar buat kami.

“Namun, kami menikmatinya kerana ia membolehkan kami untuk meningkatkan prestasi. Pemain Australia memiliki fizikal yang baik dan bermain dengan pantas.

“Untuk beraksi di final kami perlu mengumpul mata maksimum dan itu yang akan kami cuba lakukan berdepan Australia. Setiap perlawanan cabarannya berbeza dan itu akan mengujakan kami,” kata Bleby.

Britain ketika ini berkongsi enam mata bersama pendahulu carta liga, India dengan kedua-dua pasukan dibezakan menerusi jarringan gol manakala Australia ketiga dengan empat mata.

Selepas menang 2-1 ke atas Jepun dalam aksi pembukaan, Australia menerima tamparan hebat dalam misi ke pentas final apabila sekadar seri 1-1 dengan Malaysia, semalam.

Britain dan Australia masing-masing sudah dua kali merekodkan gelaran juara dalam saingan SOJC dengan mereka kali ini tampil dengan misi menjadi pasukan pertama menjuarainya buat kali ketiga.

India turut berkongsi misi sama selepas dua kali muncul juara.

- Advertisement -