Skuad hoki remaja negara perlu menunjukkan disiplin yang tinggi apabila menentang India dalam aksi sulung Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya pada Sabtu.

Jurulatih negara, Nur Saiful Zaini Nasiruddin, berkata dengan reputasi dimiliki India, sedikit kelalaian bakal mengundang padah buat anak buahnya.

“India sebuah pasukan yang kuat dan mereka mendapat pendedahan yang lebih berbanding pasukan kita yang mana mereka mengadakan beberapa siri jelajah termasuklah di Eropah.

“Malah, mereka juga diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain yang bersama skuad senior negara itu. Jadi, pemain perlu berhati-hati dan menunjukkan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan.

“Corak permainan India lebih kepada kemahiran individu ketika menyerang tidak seperti. Pemain perlu bijak dalam mengawal situasi dan jangan melakukan kesilapan yang mudah,” kata Nur Saiful.

Pada edisi tahun lalu, Malaysia yang turut membuka tirai kempen menentang India terpaksa akur apabila tewas 1-2.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Nur Saiful tampil dengan ‘wajah baharu’ kali ini apabila diperkuatkan dengan kehadiran kumpulan pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan Olimpik Belia 2018 di Argentina termasuklah penyerang, Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Sementara itu, jurulatih India, B J Kariappa tetap menghormati Malaysia biarpun pasukan kendaliannya diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi aksi pertama itu.

“Malaysia tetap sebuah pasukan yang baik, apatah lagi mereka bermain di laman sendiri dan mendapat sokongan penyokong tempatan. Itu sudah pasti akan memberikan motivasi buat mereka.

“Selain itu, Malaysia sudah membuktikan kemampuan mereka ketika memenangi emas Sukan Olimpik Belia tahun lalu. Jadi, kemampuan Malaysia tidak boleh dipandang rendah.

“Namun, saya percaya pemain saya juga sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan kali ini. Kami berpeluang mengadakan siri jelajah sebelum ini termasuklah di Madrid, Sepanyol untuk saingan Kejohanan Jemputan 8 Negara pada Jun lalu.

“Kami juga gembira apabila dua pemain yang membarisi pasukan senior iaitu Dilpreet Singh dan Gursahibjit Singh diberi pelepasan untuk bersama kami kali ini,” katanya.

Pada kejohanan di Madrid, India yang juga juara SOJC dua kali bersaing dengan tujuh pasukan lain – Jerman, Sepanyol, Belgium, Australia, Britain, Belanda dan Austria.

Mereka menamatkan saingan itu di tempat ketujuh.

Kariappa mengekalkan hampir semua pemain yang beraksi di Madrid dengan hanya membuat pertukaran enam pemain bagi menghadapi saingan SOJC kali ini.

Malaysia dan India masing-masing tewas dalam aksi pemanas badan menjelang pertembungan sulung itu apabila skuad remaja negara tunduk 0-2 di tangan Britain, kelmarin manakala anak buah Kariappa akur dengan kekalahan kepada New Zealand 3-4, semalam.

- Advertisement -