Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018, Farizal Marlias, tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mempertahankan kemenangan pada saingan ABK tahun ini.

Menurut penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang pernah memenangi gelaran Penjaga Gol Terbaik pada 2009, 2015 dan 2018, saingan kali ini dilihat agak sengit kerana prestasi cemerlang ditampilkan ramai penjaga gol lain musim ini termasuk dua lagi calon akhir Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tambahnya, itu semua terpulang kepada panel pemilih sambil dia mengakui telah memberikan segalanya atas padang pada musim ini bersama JDT apabila berjaya meraih dua trofi utama iaitu Liga Super dan Piala Malaysia selain Piala Sumbangsih.

“Bagi saya peluang untuk menang adalah 50-50 kerana ramai juga yang bermain dengan baik pada musim ini seperti Helmi Eliza (Pahang) dan Khairul Azhan Khalid (Selangor).

“Saya tidak boleh bersikap terlalu yakin untuk menang sekali lagi kerana semua orang ada peluang yang sama rata kerana ini semua undian mereka yang menilai prestasi saya sepanjang musim ini, “ katanya.

Farizal buat masa ini menjadi penjaga gol kedua di belakang Khairul Fahmi Che Mat yang paling banyak memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik sejak ABK mula diperkenalkan pada musim 2005.

Khairul Fahmi yang kini beraksi dengan Melaka telah memenangi gelaran itu sebanyak lima kali termasuk pencapaian hebat dari 2010 hingga 2013 dan kali terakhir pada 2016.

Dalam pada itu, Farizal turut berkongsi detik manisnya memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik pada kali pertama iaitu tahun 2009 ketika bersama Perlis yang menjadi batu loncatan dalam karier sehingga dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Masih ingat lagi pada waktu itu umur saya baharu 22 tahun dan agak terkejut saya mampu meraih gelaran berkenaan kerana di waktu itu kita mempunyai ramai penjaga gol yang hebat seperti Helmi Eliza.

“Bagaimanapun kejayaan pada 2009 itu saya anggap hasil daripada langkah berani keluar daripada Shahzan Muda tahun sebelum itu bagi mencari pengalaman baharu.

“ Tahun itu menjadi permulaan buat segalanya dalam karier kerana Datuk K. Rajagobal turut memanggil saya menyertai pasukan negara, ” katanya.

Selain itu, anugerah yang dimenangi pada 2015 turut menjadi detik paling istimewa buat Farizal kerana turut memenangi Piala AFC bersama JDT, yang menjadi detik bersejarah kepada arena bola sepak negara.

Malah pada ABK 2015, JDT membolot semua kategori utama yang dipertandingkan termasuk Safiq Rahim dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP).

Sementara itu bagi Hafizul Hakim yang mewakili Perak dan Ifwat yang cemerlang membantu Kedah menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim ini turut berbangga berada dalam senarai akhir untuk anugerah Penjaga Gol Terbaik.

“Saya memang tidak jangka untuk tercalon dalam kelompok tiga terbaik kerana saya sendiri sebenarnya tidak rasa berpuas hati dengan prestasi saya pada musim ini. Tercalon buat kali keempat berturut-turut ini adalah satu penghormatan tetapi saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana Farizal dan Ifwat merupakan pesaing yang cukup hebat,” kata Hafizul Hakim.

“Berada dalam senarai pencalonan tiga terbaik sudah buat saya rasa sangat bersyukur kerana bukan sesuatu yang mudah.
Cuma untuk menang sekali lagi seperti 2017 agak sukar dan saya rasa Farizal Marlias menjadi calon pilihan selepas prestasi cemerlang sepanjang musim ini,” ujar Ifwat.

ABK 2019 yang menjadi acara kemuncak arena bola sepak tanah air bakal berlangsung pada 15 November depan.

- Advertisement -