Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran sah bergelar juara keseluruhan kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini.

Ini merupakan kejuaraan kedua buat pelumba asal Terengganu itu selepas melakukannya pada musim 2018.

Walaupun dia gagal memenangi perlumbaan kelas CP150 pada aksi Pusingan 9 di Jempol, Negeri Sembilan, namun statusnya selaku pendahulu keseluruhan sudah tidak dapat digugat oleh pelumba lain.

Mereka masih ada satu pusingan lagi untuk diharungi iaitu Pusingan 10 yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 7-8 Disember nanti.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengekalkan gelaran selaku juara keseluruhan musim ini. Ini berkat kerja keras semua krew pasukan yang telah bertungkus lumus menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan musim ini.

“Saya telah berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang musim ini, namun tidak pernah patah semangat untuk meraih keputusan terbaik.

“Terima kasih kepada seluruh krew pasukan, ahli keluarga dan para penyokong yang telah memberi sokongan kepada saya sepanjang musim ini,” jelas Afif yang kini sudah mengumpul 147 mata.

Pada perlumbaan akhir kelas CP150 itu, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Azi memenanginya dengan catatan masa 15:05.564 saat (s).

Afif menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 15:06.511s manakala rakannya di CKJ Racicng, Md Aiman Tahiruddin di tempat ketiga dengan catatan masa 15:07.494s.

Pencabar terdekat Afif untuk mahkota keseluruhan, Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) gagal menamatkan perlumbaan kerana mengalami masalah teknikal dengan jenteranya.

Saingan semalam hanya memerlukan Afif untuk menamatkan perlumbaan di hadapan Azroy bagi mengesahkan statusnya sebagai juara keseluruhan.

Perebutan kini bakal tertumpu kepada siapa yang akan bergelar naib juara keseluruhan kerana Akid sudah mengambil alih tempat kedua dengan 112 mata diikuti Azroy dengan 102 mata.

Gelaran juara keseluruhan bagi kategori pasukan pula bakal diketahui pada Pusingan 10 di Sepang nanti. Perebutan untuk mahkota kejuaraan kategori pasukan kini menjadi persaingan antara PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing dan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

 

CKJ Racing masih mendahului kedudukan keseluruhan dengan 219 mata manakala Maju Motor sudah meraih 215 mata.

INFO
Keputusan CP150 (Lima teratas)
Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) – 15:05.564s

Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 15:06.511s

Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 15:07.494s

Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) – 15:13.192s

Md Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR SAG Team) – 15:19.630s

Kedudukan keseluruhan (pelumba)
Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 147 mata

Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) – 112

Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing) – 102

Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) – 93

Md Helmi Azman (Hi Rev SCK Honda Racing) – 78

Pasukan
PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 219

PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor – 215

Motul Yamaha YY Pang Racing – 186

Idemitsu Honda Yuzy Racing – 159

ONEXOX TKKR SAG Team – 140

- Advertisement -