Skuad Harimau Malaya menutup kalendar 2019 dengan noktah kegembiraan selepas menundukkan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus memastikan kedudukan yang agak selesa dalam saingan kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Selepas melakar kemenangan dramatik 3-2 dalam aksi pembukaan September lalu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe melayan kunjungan Indonesia dan meletakkan misi wajib menang untuk terus mencerahkan peluang beraksi di Piala Asia.

Malaysia tampak cemas seketika apabila ‘lambat panas’ sekaligus memberi ruang kepada pelawat untuk menguji kubu Harimau Malaya yang dikawal Khairulazhan.

Malang buat Azhan apabila terpaksa dikeluarkan susulan kecederaan dan diganti dengan Farizal Marlias. 

 

 

Namun ia bukan petanda malang, sebaliknya keceriaan lebih 70 ribu penyokong setia Harimau Malaya bermula di minit 27 apabila sepakan percuma Safawi Rasid menggegar gawang Indonesia.

Safawi terus menjadi watak penting untuk Harimau Malaya apabila bijak memperdaya pertahanan Indonesia sebelum melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Muhammad Ridho kali kedua di minit 72.

Indonesia mendapat suntikan semangat di penghujung babak apabila dihadiahkan sepakan penalti. Namun pengalaman yang dimiliki Farizal menafikan sepakan yang diambil Osas Marvellous sekaligus memastikan Malaysia melangkah keluar dari stadium dengan rekod tanpa bolos apabila kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Malaysia menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, dua mata dibelakang Vietnam yang melakar keputusan seri ke atas Thailand sementara Indonesia terus terperosok di tangga terbawah tanpa sebarang mata.

 

- Advertisement -