Bad mahu elakkan rasa tertekan, Harris tidak mahu pikir sejarah lama

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/11/piala-malaysia-bad-mahu-rakan-rakan-elakkan-rasa-tertekan-harris-tidak-mahu-pikir-sejarah-lama">
Twitter
Pinterest

Kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak sesekali rasa tertekan berdepan pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaliknya hanya perlu menikmati sebaiknya perlawanan akhir Piala Malaysia 2019, malam esok.

Jelasnya, Kedah sememangnya dalam momentum terbaik untuk memburu kejuaraan kedua selepas muncul juara Piala FA, Julai lalu.

Namun, ia bukan mudah kerana aksi final pada kali ini dilihat lebih sukar apabila bakal berdepan juara enam kali Liga Super, JDT dan perlawanan dijangka akan menjadi cukup sengit dalam misi untuk merebut trofi tertua Asia Tenggara itu.

Apa yang penting, pemain berusia 31 tahun itu harap satu sejarah akan tercipta pada malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selain ingin semua pemain turun beraksi tanpa sebarang tekanan bagi memastikan Kedah dapat julang kejuaraan sekali lagi di venue itu.

“Pada tahun 2017, kita sudah tewas kepada lawan sama di Stadium Shah Alam dan saya harap kali ini rezeki dapat berpihak kepada Kedah pula.

“Apa yang penting, kita semua kena bermain dengan tenang dan hanya menikmati sahaja perlawanan esok.

“Apatah lagi, kita satu pasukan sudah berhempas pulas dalam separuh akhir kedua berdepan Pahang dan untuk final nanti, kami sudah mendapat motivasi baharu untuk memberikan yang terbaik”, katanya pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.

Dalam pada itu, ketua pasukan JDT, Hariss Harun, tidak berasakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang ‘badi’ kepada skuad Harimau Selatan selepas kali terakhir mereka tewas pada 2014 di tangan Pahang pada pentas final Piala Malaysia.

Menurut pemain dari Singapura berkenaan, keputusan pada lima tahun lalu sudah menjadi sejarah dan mereka mahu membuat lembaran baharu memburu kejuaraan kedua Piala Malaysia pada perlawanan akhir berdepan Kedah.

“ Apa yang sudah lepas dan apa yang terjadi, sudah menjadi sejarah dan esok kami berpeluang membuat sejarah baharu kepada JDT, saya serta rakan-rakan hanya fikirkan apa mahu dilakukan dalam perlawanan.

“ Ada sahaja beberapa gelanggang kami pernah pergi sebelum ini keputusan tidak baik kepada kami tetapi akhirnya berjaya mendapatkan keputusan yang baik, jadi saya harap perkara sama akan berlaku di sini serta mahu hadiahkan kemenangan kepada penyokong-penyokong JDT.

“ Saya harap kombinasi bersama pemain lain di bahagian tengah dengan Leandro Velazquez serta Afiq Fazail akan memberikan kekuatan tambahan kerana persefahaman antara kami bertiga semakin baik dalam tiap perlawanan, ” katanya.

Kali terakhir JDT muncul juara pada 2017 menewaskan Kedah, Hariss tidak beraksi apabila dipinjamkan ke Home United pada penghujung musim yang ketika itu dikendalikan jurulatih Kedah pada masa ini, Aidil Sharin Sahak.

Please follow and like us:
0