Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaja RM10,000 kepada Persatuan Penulis Sukan (SAM) dalam penganjuran Kejohanan Golf Amal Korporat Media SAM 2019 yang akan berlangsung pada 24 Nov ini.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad berkata kejohanan sehari itu di Forest City Golf Resort Classcic Coursel adalah satu usaha untuk menghargai pihak media atas bantuan menyalurkan maklumat berkaitan TNB kepada orang awam.

“Memandangkan ia diadakan di negeri ini, kami lihat ia sebagai satu peluang untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR), yang juga kejohanan julung kali antara Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) bersama Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA),” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Mock Cheque di Wisma TNB Johor di sini, hari ini.

Setiausaha JGTA, Mohd Shah Rahmat berkata, pihaknya berbesar hati atas tajaan TNB yang juga penaja terbesar setakat ini yang disifatkan amat membantu dalam menjayakan lagi kejohanan golf ini.

“Sehingga kini, penyertaan sudah mencecah 70 pemain dari Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Johor termasuk 13 pemain dari Singapura, katanya yang turut memaklumkan penyertaan masih dibuka sehingga 23 Nov ini.

“Dianggarkan RM15,000 hingga RM20,000 menanti pemenang merangkumi kategori hadiah Challenge Trophy, Best Team, Best Individuals dan Novelties Prizes,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Baderul mengajak semua masyarakat untuk memuat turun aplikasi ‘myTNB’ bagi mengawal penggunaan elektrik dan membuat transaksi pembayaran bil elektrik dengan lebih mudah, katanya yang juga akan beraksi pada kejohanan golf amal ini nanti.

— BERNAMA

- Advertisement -