Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Najmi Razak, hari ini menerusi satu sidang media di KHM telah mengumumkan senarai 20 pemain Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang akan menggalas cabaran di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita, Donghae, Korea Selatan, 2021.

Kejohanan yang yang bakal berlangsung pada 5 hingga 12 Disember 2021 serta menggunakan format liga satu kumpulan itu menyaksikan pasukan negara akan bersaing bersama pasukan India, China, Korea, Jepun dan Thailand.

Menerusi senarai 20 pemain yang telah diumumkan hari ini purata usia pemain yang mewakili Malaysia ialah lingkungan 22 tahun dengan dibarisi dua penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, lima pemain di posisi tengah dan enam pemain di bahagian serangan.

Pemain berpengalaman negara, Juliani Mohamad Din telah dilantik untuk menggalas tugas selaku kapten pasukan dan pengalaman yang dimiliki beliau bersama beberapa pemain senior yang lain pastinya ditagih untuk membantu serta membimbing pemain-pemain yang lebih muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak menjelaskan 12 daripada 20 pemain yang tersenarai merupakan pemain yang tidak pernah membuat sebarang penampilan antarabangsa dan kejohanan ini bakal menjadi kejohanan pertama buat mereka meraih “caps” bersama pasukan kebangsaan.

“Pasukan yang akan ke Donghae merupakan pasukan projek jangka masa panjang iaitu 2026 dan pasukan ini juga baru dibentuk. Selama dua tahun pasukan ini tidak mempunyai sebarang perlawanan termasuk perlawanan antarabangsa mahupun latihan diluar negara.

“Saya yakin dan percaya hanya Malaysia menghantar pasukan paling muda kerana pasukan-pasukan lain menghantar pasukan senior mereka ekoran ketika ini juga berlangsung Kejohanan Piala Dunia Remaja (Wanita).

“Perlawanan ini juga akan digunakan sebagai medan untuk memberikan pendedahan kepada barisan muda negara untuk mereka mendapatkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa juga menentang pasukan-pasukan terbaik di Asia,” jelas Dato Najmi Razak yang turut menjelaskan kejohanan ini akan menguji mental dan fizikal pemain kerana beraksi di bawah suhu hingga -2 darjah celsius.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan pemilihan 20 pemain tersebut adalah berdasarkan beberapa kriteria termasuk penilaian semasa siri persahabatan bersama pasukan kelab yang bakal beraksi di Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (2021) juga persembahan pemain-pemain ketika di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2021, baru-baru ini.

“Penilaian kami lakukan dengan mengambil kira tentang perkembangan dari segi kemahiran hoki mereka dalam perlawanan tersebut dan perkara positif daripada kami membenarkan mereka bermain di Piala Tun Abdul Razak adalah mereka mendapat masa bermain perlawanan kompetitif dengan secukupnya.

“Ketika kejohanan Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini, kami melihat ada beberapa pemain yang bermain dengan cukup baik dan kami kini masih dalam proses penilitian akhir untuk memanggil mereka menyertai pasukan.

“Pintu untuk menyertai pasukan kebangsaan sentiasa terbuka dan pemain-pemain tidak boleh berasa selasa serta perlu sentiasa memajukan diri mereka jika mahu kekal dalam pasukan.

“Mengenai kejohanan ini, ia merupakan satu platform yang baik untuk kami terus meneliti perkembangan pemain-pemain dan memberikan pengalaman yang sangat berguna untuk mereka di peringkat antarabangsa.

“Kejohanan ini juga akan membantu untuk membentuk keyakinan yang tinggi dalam diri mereka ketika beraksi dengan pasukan yang berkedudukan ranking lebih tinggi berbanding kami.

“Tiada tekanan untuk mereka tetapi ketika beraksi di kejohanan tersebut mereka perlu memberikan persembahan yang terbaik dan membuktikan mengapa mereka berhak untuk berada di dalam pasukan kebangsaan,” jelas beliau.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan sila hubungi Dato’ Najmi Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa, Pengurus Pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani atau Ketua Jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita, Donghae, Korea, 2021.

1. SITI ROZAILAH JILON PENJAGA GOL
2. SITI ZALIA NASIR PENJAGA GOL
3. JULIANI MOHAMAD DIN PERTAHANAN
4. RAJA NORSHARINA RAJA SHABUDDIN PERTAHANAN
5. NURUL FAEZAH SHAFIQAH KHALIM PERTAHANAN
6. IREN HUSSIN PERTAHANAN
7. DAYANG NURAMIRAH ABANG MAHADINI PERTAHANAN
8. NURUL FATIN FATIAH AZMAN PERTAHANAN
9. ELLYA AMANINA ELLIAS PERTHANAN
10. NURAINI ABDUL RASHID TENGAH
11. FATIN SHAFIKA MAHD SUKRI TENGAH
12. NUR SYUHADA SUHAIMI TENGAH
13. NOR ASFARINA ISAHYIFIQA ISAHHIDUN TENGAH
14. NUR INSYIRAH EFFARIZAL TENGAH
15. NURAMIRAH SHAKIRAH ZULKIFLI PENYERANG
16. NURMAIZATUL HANIM SYAFI SHIEK FUAD PENYERANG
17. SITI ZULAIKHA HUSAIN PENYERANG
18. SITI NUR ARFAH MOHD NOR PENYERANG
19. NUR ATIRA MOHAMAD ISMAIL PENYERANG
20. NUR AFIQAH SYAHZANI AZHAR PENYERANG

Berikut merupakan jadual perlawanan Pasukan Malaysia bagi peringkat liga satu kumpulan:
BIL PERLAWANAN TARIKH / HARI MASA
1. CHINA LWN MALAYSIA 05 DISEMBER (AHAD) 9.30 PAGI
2. INDIA LWN MALAYSIA 06 DISEMER (ISNIN) 9.30 PAGI
3. JEPUN LWN MALAYSIA 08 DISEMBER (RABU) 9.30 PAGI
4. MALAYSIA LWN KOREA 09 DISEMBER (KHAMIS) 2.00 PETANG
5. MALAYSIA LWN THAILAND 11 DISEMBER (SABTU) 9.30 PAGI

** Waktu perlawanan adalah waktu Malaysia

- Advertisement -